Mozilla minggu ini telah menerbitkan versi pelayar Firefox 64-bit yang dioptimasikan untuk sistem operasi Windows 64-bit. Firefox 64-bit untuk Windows ini boleh digunakan pada sistem operasi Windows 7 dan ke atas dan boleh dimuat turun melalui pautan ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Mozilla, penaik tarafan ini bakal meningkatkan prestasi pelayar terutamanya di dalam penggunaan aplikasi dan permainan. Cuma, terdapat sedikit masalah pada sesetengah pemalam untuk versi 32-bit yang tidak boleh digunakan pada versi 64-bit.
Oktober lalu, Mozilla mengumumkan rancangan untuk menamatkan sokongan untuk Netscape Plugin Application Programming Interface (NPAPI) pada penghujung tahun 2016. NPAPI bakal digantikan oleh fungsi penstriman video, grafik lanjutan dan fungsi permainan yang kini tersedia di dalam kebanyakan pelayar-pelayar generasi terkini.
Juga di dalam minggu ini, Mozilla turut memberikan lebih kawalan kepada pengguna untuk mengawal bagaimana cara data mereka dikongsikan melalui Firefox. Para pengguna boleh menyekat trackers tambahan pada Private Browsing dengan fungsi Tracking Protection.
Mula diperkenalkan awal November ini, fungsi mencegah laman-laman dari mengumpulkan data aktiviti pengguna atas talian. Ketika pengguna melayari menggunakan Private Windows, ia akan menyekat iklan, penjejak, butang perkongsian media sosial dan lain-lain fungsi yang mampu merekod sebarang aktiviti pengguna tanpa disedari.
Masalahnya, apabila menggunakan fungsi ini, berkemungkinan sesetengah laman web tidak dapat dipaparkan dengan sempurna atau sesetengahnya langsung tidak dipaparkan.
Sumber berita diperoleh dari Ars Technica