Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menafikan sebarang dakwaan berhubung ketirisan atau penyelewengan dalam pelaksanaan inisiatif MyDigital ID.
Penjelasan ini dibuat susulan kebimbangan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang mengetengahkan isu perbelanjaan berjumlah RM28.13 juta yang didakwa tidak selaras dengan kelulusan jawatankuasa.
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, menjelaskan di Dewan Rakyat isu yang dibangkitkan adalah berpunca daripada kekeliruan pentadbiran dan bukannya kegagalan dalam tata kelola atau perolehan.
Beliau menegaskan projek tersebut telah dilaksanakan secara telus tanpa sebarang bukti penyalahgunaan dana. Menurut beliau, segala perbelanjaan bagi Projek Identiti Digital Nasional (IDN) telah dibentangkan kepada jawatankuasa pemandu dan teknikal projek pada Februari 2024. Butiran kewangan dan pelaksanaan telah dimaklumkan sebelum perubahan dalam penyeliaan berlaku.
Menteri berkenaan turut memaklumkan tanggungjawab penyeliaan projek tersebut telah dipindahkan secara rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Mac 2024.
Susulan peralihan tersebut, projek berkenaan kini dilaksanakan di bawah seliaan MKN. Beliau mengakui penemuan oleh Ketua Audit Negara tersebut. Namun menyifatkannya sebagai kesan daripada pertindihan peranan jawatankuasa dan ketidakselarasan dalam proses membuat keputusan. Iaturut menyebabkan wujudnya kelompangan dokumentasi pada peringkat tertentu.
Walau bagaimanapun, ahli Parlimen terus mendesak agar ketelusan yang lebih tinggi dipamerkan. Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) meminta penjelasan lanjut mengenai peruntukan tersebut dan mencadangkan agar Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap MyDigital ID Sdn Bhd.
Beberapa ahli parlimen lain turut membangkitkan isu pembayaran gaji yang dikendalikan oleh MIMOS Berhad. Turut dicadangkan langkah pengawasan yang lebih ketat termasuk audit forensik bagi projek strategik negara yang dilaksanakan melalui syarikat tujuan khas (SPV).











