Microsoft telah mengumumkan penurunan harga bagi langganan Xbox PC Game Pass di Malaysia pada hari ini. Yuran bulanan tersebut dikurangkan daripada RM25 kepada RM20.

Langkah pemotongan harga ini merupakan sebahagian daripada usaha semakan semula struktur global syarikat.

Penurunan harga ke paras RM20 ini berlaku hanya beberapa bulan selepas Microsoft menaikkan caj perkhidmatan tersebut kepada RM25 pada tahun lepas.

Untuk rekod, PC Game Pass mula diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada tahun 2022 dengan harga permulaan serendah RM15 sebulan.

Pemotongan harga di Malaysia ini dibuat seiring dengan penurunan kadar langganan antarabangsa bagi variasi PC dan Ultimate. Langkah ini dilihat bertentangan dengan trend kenaikan harga industri teknologi semasa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Xbox, Asha Sharma, menerusi satu memo dalaman syarikat, harga langganan perkhidmatan Game Pass sebelum ini sudah menjadi terlalu mahal.

Beliau menyatakan, “Anda harus melakukannya dengan cara yang menguntungkan pengguna dan menguntungkan kedua-dua syarikat. Microsoft masih cuba mencari cara agar pakej Game Pass dapat menguntungkan Microsoft”.

Permainan utama baharu seperti Call of Duty tidak lagi akan ditawarkan pada hari pertama pelancaran (Day-One) di dalam katalog PC Game Pass dan Xbox Game Pass Ultimate.

Judul-judul utama tersebut hanya akan ditambah ke dalam perkhidmatan ini setahun selepas ia dipasarkan, lazimnya pada musim cuti hujung tahun.

Langkah penetapan harga baharu ini memberikan akses yang lebih mampu milik kepada komuniti pemain komputer tempatan untuk menikmati ratusan judul permainan digital yang berkualiti.

Tinggalkan komentar