Microsoft mengesahkan kebanyakan pengguna Windows 11 tidak lagi memerlukan perisian antivirus pihak ketiga. Ini kerana sistem keselamatan terbina dalam iaitu Windows Defender sudah memadai untuk menawarkan perlindungan harian yang komprehensif dan selamat.

Debat mengenai keperluan memuat turun perisian antivirus tambahan bagi komputer peribadi telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Namun, menerusi penerbitan dokumen sokongan terbaru, Microsoft menjelaskan perlindungan lalai (default) yang ditawarkan dalam ekosistem Windows 11 sudah memadai untuk melindungi pengguna biasa.

Asalkan pengguna perlu memastikan sistem mereka sentiasa dikemas kini secara berkala dan mengekalkan tetapan keselamatan yang disyorkan.

Windows Defender kini bukan lagi sekadar pengimbas fail biasa, sebaliknya ia telah berevolusi menjadi sebuah tindanan perlindungan (protection stack) penuh yang diintegrasikan secara mendalam ke dalam sistem operasi.

Menurut Microsoft, Windows 11 adalah sistem pengendalian Windows yang paling selamat setakat ini, yang merangkumi perisian antivirus terbina dalam yang aktif secara lalai dan sentiasa dikemas kini secara berterusan.

Ciri-ciri baharu Windows Defender

Berikut adalah senarai spesifikasi dan ciri utama yang menjadikan Windows Defender pilihan yang kukuh bagi pengguna:

  • Imbasan Masa Nyata (Real-time scanning): Memeriksa fail dan aplikasi sebaik sahaja ia dibuka atau dijalankan untuk menyekat perisian hasad (malware) secara serta-merta.
  • Perlindungan Berasaskan Awan (Cloud-delivered protection): Menggunakan pangkalan data kecerdasan awan Microsoft untuk mengenal pasti dan meneutralkan ancaman siber baharu dengan lebih pantas .
  • Pemantauan Tingkah Laku (Behavior monitoring): Memantau proses yang sedang berjalan di latar belakang untuk mengesan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi membahayakan sistem.
  • Kawalan Akses Folder (Controlled Folder Access): Ciri mitigasi perisian tebusan (ransomware) yang menghalang aplikasi tidak dipercayai daripada mengubah, memadam, atau menyulitkan fail sensitif milik pengguna.
  • Pencegahan Pancingan Data (SmartScreen): Menyekat laman web dan muat turun yang berniat jahat untuk memastikan pelayaran internet yang selamat.

Selagi pengguna mengamalkan tabiat pengkomputeran yang baik seperti tidak melayari laman web meragukan dan tidak memuat turun perisian cetak rompak, Windows Defender mampu memberikan tahap perlindungan yang optimum tanpa sebarang kos tambahan.

Pemasangan perisian antivirus pihak ketiga kini lebih relevan untuk golongan yang memerlukan ciri-ciri khusus, seperti kawalan peranti peringkat perusahaan, pengurusan berbilang peranti, atau perkhidmatan Rangkaian Peribadi Maya (VPN) premium.

Tinggalkan komentar