Tahun lalu Microsft mengumumkan akan menamatkan pelayar web Internet Explorer 11 pada majoriti versi sistem operasi Windows 10. Baru-baru ini, Microsoft sekali lagi mengeluarkan peringatan tersebut yang menyatakan sokongan terhadap Internet Explorer 11 akan ditamatkan pada 15 Jun 2022.
Satu mesej pada laman web Windows Release Health memaklumkan pengguna dan pentadbir sistem berkenaan penamatan aplikasi desktop Internet Explorer 11.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, masa depan Internet Explorer pada Winodws adalah di dalam Microsoft Edge. Ini kerana pelayar web moden berkenaan menyediakan sokongan pelayar legasi menerusi mod Internet Explorer (IE Mode) di Microsoft Edge.
Atas sebab itu, aplikasi desktop Internet Explorer 11 (IE 11) akan ditamatkan pada 15 Jun 2022 pada sebahagian versi Windows 10. Ini bermakna, IE 11 tidak lagi boleh dibuka selepas tarikh berkenaan dan pengguna akan dihalakan ke Microsoft Edge jika cuba mengaksesnya.
Walaubagaimanapun, fail pemasangan Internet Explorer masih lagi dikekalkan di dalam peranti berkenaan kerana ia diperlukan untuk digunakan sebagai IE Mode di dalam Microsoft Edge.
Memandangkan Edge dibina berasaskan Chromium, ia tidak menyokong teknologi Internet Explorer. IE Mode ini bertujuan memastikan sebahagian kandungan tertentu Internet Explorer masih lagi boleh dimuatkan.
Kebanyakan pengguna biasa tidak memerlukan pun IE Mode ini. Namun, sesetengah organisasi seperti syarikat atau agensi kerajaan masih lagi memerlukannya. Hal ini disebabkan sesetengah aplikasi dan perkhidmatan tersebut dibangunkan secara eksklusif untuk Internet Explorer pada masa itu.
Beberapa versi dan edisi sistem operasi Windows tidak terkesan dengan penamatan ini. Antara sistem operasi yang dimaksudkan adalah Windows 7 dan Windows 8.1, Windows 10 Server LTSC dan SAC, serta pemasangan klien LTSC Windows 10.