Pemprosesan Apple M1 Ultra didapati tidak mampu menyaingi Nvidia GeForce RTX 309 di dalam ujian penanda aras sintetik dan perbandingan permainan berkomputer. Cip M1 Ultra berkenaan merupakan spesifikasi tertinggi yang digunakan di dalam Apple Mac Studio dan mempunyai 20 teras CPU, 64 teras GPU.
Menerusi ujian penanda aras tersebut, didapati Nvidia GeForce RTX 3090 mengatasi markah lebih tinggi dari +158% berbanding pemprosesan dari Apple tersebut.
Prestasi grafik Apple M1 Ultra secara keseluruhannya tidaklah begitu teruk. Namun perbandingannya dengan kad grafik berprestasi tinggi seperti yang diiklankan sebelum ini mungkin menimbulkan lebih banyak persoalan bagi peminat-peminat teknologi pemprosesan grafik.
Ujian penanda aras yang dilakukan oleh laman The Verge mendapati prestasi grafik dari RTX 3090 jauh lebih baik dari seperti yang didakwa oleh Apple.
Ulasa Mac Studio oleh The Verge membandingkan komputer desktop yang menggunakan M1 Ultra berspesifikasi 20 teras CPU & 64 teras GPU dengan komputer desktop menggunakan Intel Core i9-10900 + RTX 3090. Kedua-dua komputer berkenaan mempunyai RAM sebanyak 64GB. Apa yang perlu diperhatikan, kuasa pemprosesan perkomputeran M1 Ultra sememangnya jauh lebih baik dari Intel Core i9-12900K, namun keputusan pemprosesan GPU adalah keutamaan dalam ujian ini.
Ujian | GeForce RTX 3090 | Apple M1 Ultra (20 CPU/64 GPU) | % kelebihan untuk RTX 3090 |
---|---|---|---|
Geekbench 5 OpenCL | 215,034 markah | 83,121 markah | +158.7% |
Geekbench 5 Metal | – | 102,156 markah | – |
Shadow of the Tomb Raider @1080p | 142 FPS | 108 FPS | +31.48% |
Shadow of the Tomb Raider @1440p | 114 FPS | 96 FPS | +18.75% |
Shadow of the Tomb Raider @4K | – | 60 FPS | – |
Beza di dalam ujian penanda aras Apple vs NVIDIA
Tidak mengejutkan apabila mendapati Mac Studio dengan M1 Ultra ketinggalan di dalam ujian kadar bingkai. Namun, apa yang dihasilkan menerusi tetapa 60 FPS @4K di dalam Shadow Of The Tomb Raider masih lagi dikirakan sebagai amat baik.
Perbezaan ketara yang menunjukkan RTX 3090 jauh lebih baik dari Apple M1 Ultra adalah pada ujian penanda aras sintetik OpenCL. Markah yang dicatatkan oleh kad grafik NVIDIA berkenaan mencecah +158.7% lebih baik berbanding silikon keluaran Apple tersebut.
Pun begitu, dari satu sudut perbandingan yang ditunjukkan oleh pengiklanan oleh Apple menyatakan prestasi yang ditunjukkan adalah berdasarkan pengukuran penanda aras berpiawaian industri yang terpilih.
Malah, ujian prestasi yang diiklankan tersebut juga mengetengahkan kadar penggunaan kuasa oleh M1 Ultra adalah lebih rendah berbanding perkakasan grafik yang dibandingkannya.