Internet Explorer sudah pun menemui usia senjanya apabila Microsoft memperkenalkan penggantinya, Microsoft Edge pada tahun 2015. Pun begitu, kebanyakan pihak berpendapat pelayar berkenaan sudah lagi menjadi tidak relevan sejak Chrome menjadi pilihan pelayar utama.

Kini, pihak Microsoft telah menyatakan aplikasi desktop Internet Explorer 11 akan ditamatkan serta sokongannya dihentikan serta merta bermula 15 Jun 2022 pada sesetengah versi Windows 10.

Kenyataan tersebut dikeluarkan menerusi satu hantaran blog semalam. Microsoft memaklumkan penambahbaikan keserasian antara laman web moden dengan fungsi lama di dalam IE seperti ActiveX pada Edge, menjadi antara sebab penamatan Internet Explorer.

Malah, isu utama seperti kerentanan dan lompong keselamatan pada Internet Explorer yang sukar menemukan jalan penyelesaian turut menjadi salah satu penyebab.

Proses penamatan secara berperingkat Internet Explorer akan dijalankan lebih awal iaitu 17 Ogos 2021. Perkhidmatan Microsoft 365 antara sebahagian aplikasi yang akan menamatkan sokongan untuk Internet Explorer 11. Microsoft Edge pula akan meneruskan sokongan untuk laman web dan aplikasi usang berasaskan Internet Explorer sehingga 2029.

Internet Explorer, pelayar yang sinonim bagi pengguna internet pada penghujung dekad 90’an dan awal millenium akan terkubur bersama-sama pelayar lain seperti Netscape. Menurut data dari NetMarketshare pada suku ketiga tahun lepas, Internet Explorer hanya menguasai 5% pasaran.

Penamatannya adalah langkah terbaik yang dapat dilakukan memandangkan ianya sudah pun tidak begitu dikemaskini sejak Internet Explorer 11 diterbitkan pada 2013 dahulu.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.