Mac tahun lepas, Microsoft telah mengumumkan akan menamatkan sokongan untuk sistem operasi Windows 7. Bagi anda yang masih lagi menggunakan sistem operasi berkenaan, anda mungkin sudah ambil maklum mengenai tarikh penamatan yang berkuat kuasa pada hari ini 14 Januari 2020.
Oleh yang demikian, selepas dari tarikh hari ini, tiada lagi sebarang kemaskini sokongan teknikal, perisian mahupun keselamatan disediakan secara rasmi dari Microsoft. Penggunaan Windows 7 selepas ini bakal lebih mendedahkan lagi pengguna dengan risiko ancaman siber.
Microsoft seperti biasa mencadangkan pengguna supaya menaik taraf ke Windows 10 secepat mungkin. Hal ini mengambil kira pada kebiasaannya sistem operasi versi yang lebih baru mudah mendapat sokongan dari pembangunnya.
Windows 7 masih lagi di antara sistem operasi yang popular pada hari ini. Berdasarkan statistik serangan WannaCry pada 2017 yang lalu, kebanyakan sistem operasi ini digunakan oleh pengguna-pengguna perusahaan.
Kerja menaik taraf sistem operasi melibatkan kumpulan pengguna ini biasanya lebih rumit kerana melibatkan jumlah aset yang besar berbanding pengguna individu.
Sumber berita diperoleh dari Microsoft