Aplikasi pemprosesan kata yang ringan dari Microsoft, Notepad kini akhirnya menerima fungsi semakan ejaan selepas lebih dari empat dekad ia diperkenalkan pada tahun 1983. Penambahan ciri baharu ini tersedia menerusi kemaskini Windows 11 yang terkini.
Sama seperti fungsinya pada Microsoft Word, ciri semakan ejaan Notepad akan menyorotkan perkataan yang tersalah eja dengan garisan merah di bawahnya. Pengguna akan dapat melihat senarai ejaan yang betul dengan mengklik pada perkataan tersebut. Juga disediakan fungsi baharu pembetulan auto (autocorrect) yang akan membetulkan ejaan yang lazimnya sering tersilap secara automatik.
Fungsi ini bagaimanapun masih boleh dinyahaktifkan bagi anda yang memilih untuk kekal dengan cara lama. Anda boleh mengubah tetapan Notepad pada ikon gear pada bahagian kanan atas. Selain itu, fungsi semakan ejaan ini akan dinyahaktifkan secara automatik pada fail-fail yang berkaitan dengan log dan pengekodan.
Alatan baharu ini juga merupakan antara beberapa ciri-ciri baharu yang diperkenalkan di dalam Notepad. Awal tahun ini Microsoft telah menambahkan ciri tab-tab baharu di dalam Notepad bagi membolehkan pengguna mengguna dan beralih-alih ke fail-fail teks yang berbeza tanpa perlu membuka tetingkap baharu.
Agak mustahil jika kefungsian aplikasi ini akan menjadi sekompleks Microsoft Word. Namun, sebarang penambahbaikan atau penambahan fungsi baharu pastinya dialu-alukan.