Mengintegrasikan pembesar suara nirwayar dengan reka bentuk dalaman ruang tamu adakalanya agak mencabar apabila menyesuaikannya dengan keperluan praktikalnya. Samsung Music Frame hadir untuk menyelesaikan masalah ini dengan menggabungkan pembesar suara nirwayar dan bingkai gambar bagi menyesuaikannya dengan rekabentuk hiasan dalaman kediamaan.
Rekaan unik Music Frame membolehkan anda memperibadikannya dengan foto kegemaran anda, foto keluarga atau hasil karya seni anda. Penyesuaian ini juga boleh diubah mengikut kreativiti dan citarasa pengguna mengikut persekitaran ruangan ia ditempatkan.
Ciri reka bentuk yang fleksibel bersama-sama kualiti bunyi yang baik disediakannya menjadikan peralatan audio keluaran Samsung ini bukan sekadar canggih, malah menaikkan seri hiasan dalaman sesebuah ruangan.
Music Frame juga menawarkan ciri lanjutan seperti Dolby Atmos dan Q-Symphone. Aspek-aspek ini menjadikan Music Frame sebagai sebuah produk yang menarik buat pengguna yang inginkan keseimbangan di antara rupa dan fungsi pada pembesar suara pintar.
Isi Kandungan
Rekabentuk dan Pengubahsuaian
Ketika mengeluarkannya daripada kotak, saya tidak menyangka bingkai gambar + pembesar suara nirwayar ini agak berat pada 4.6 kilogram. Bersama-sama cagak (stand) yang disediakan, pembesar suara ini dapat diletakkan dengan kukuh di atas meja.
Segalanya baik dari segi rupa dan rasanya, ia kelihatan seperti produk yang premium. Berukuran 13.8 x 13.8 x 2.1 inci, bingkai gambarnya ini diperbuat daripada bahan plastik berkualiti tinggi. Bahagian plastik pelapik fotonya pula mempunyai kemasan matte yang dapat mengurangkan kesan silau.
Mengubahsuai foto pada bahagian tengahnya dapat dilakukan dengan amat mudah. Bahagian ‘tikar’ yang dilekatkan pada bingkainya disangkutkan pada empat pancang (peg) plastik yang melekat dengan teguh, namun mudah ditanggalkan. Pada bahagian ‘tikar’ ini juga terdapat plat yang boleh ditarik keluar untuk menukarkan foto-foto bercetak. Anda boleh meletakkan apa jua foto yang berukuran 8 x 10 inci pada ruangan ini dengan hanya bahagian 8 x 8 inci sahaja yang akan kelihatan pada sebelah hadapan bingkai gambar ini.
Sepanjang tempoh pengujian, saya menggunakan cagak Music Frame yang disediakan bersama-sama di dalam kotaknya. Anda juga boleh menggantungkannya pada dinding ruang tamu kediaman anda.
Jika anda mempunyai sebuah lagi Music Frame, anda mungkin boleh menggantungkannya secara berpasangan untuk memberikan kesan audio keliling yang lebih padu dengan peralatan audio visual rumah. Cuma, pemasangan dengan cara menggantungkannya pada dinding perlu mengambil kira wayar bekalan kuasa elektriknya yang memerlukan kreativiti anda untuk menyorokkan atau menyusunnya dengan kemas.
Prestasi
Samsung Music Frame dilengkapkan dengan sistem pembesar suara bersaluran 2.0 yang mengandungi enam buah pembesar suara yang disusun secara bertiga-tiga. Kuasa output sebanyak 120W mencukupi untuk memenuhi ruangan bersaiz sederhana.
Saya mendapati Music Frame mampu memberikan pengalaman audio yang memuaskan untuk pelbagai genre muzik. Baik dari muzik bergenre nasyid hinggalah ke muzik instrumental lain. Untuk pengalaman yang lebih mengasyikkan anda boleh menstrimkan muzik dengan penalaan khusus Dolby Atmos Music menerusi platform-platform yang menawarkan sokongan tersebut seperti Amazon Music, Tidal dan Apple Music.
Cuma saya tidak dapat menguji prestasi Music Frame ini dengan kandungan filem Dolby Atmos memandangkan ia memerlukan Samsung TV keluaran 2024 untuk dipasangkan melalui ciri Q-Symphony.
Ketersambungan dan Penstriman
Samsung Music Frame menawarkan proses ketersambungan yang lancar menerusi aplikasi Samsung SmartThings untuk menghubungkan antara pembesar suara berkenaan dengan peranti-peranti lain melalui sambungan secara Bluetooth atau WiFi.
Selain aplikasi tersebut anda juga boleh menyambungkan terus melalui menggunakan Bluetooth untuk memasangkannya (pairing) dengan peranti-peranti lain termasuk telefon pintar Android lain. Untuk memasangkannya secara Bluetooth, anda boleh memegang (hold) pada butang khas di bahagian paling bawah selepas butang + dan – di sebelah kiri di belakangnya.
Salah satu ciri yang paling menarik pada Music Frame terletak pada ketersesuaiannya dengan peranti-peranti Samsung keluaran 2024 menerusi fungsi Q-Symphony. Ia membolehkan Music Frame dapat dioperasikan sebagai sebahagian daripada sistem bunyi keliling apabila bersambungan dengan TV Samsung yang bersesuaian.
Selain itu, Samsung Music Frame juga boleh berfungsi di dalam mod Group apabila dipasangkan dengan soundbar yang bersesuaian bagi memberikan pengalaman muzik yang berlanjutan atau di pelbagai ruangan bilik-bilik.
Music Frame juga menyokong sejumlah platform-platform penstriman muzik popular seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan sebagainya. Sepanjang tempoh pengujian saya, pengalaman penstriman secara konsisten dapat dimainkan pada kualiti tinggi tanpa sebarang kelambatan (lag).
Ciri-ciri Pintar
Seperti yang pernah dinyatakan di dalam perenggan sebelum ini, Music Frame dapat dikawal dikawal meneruis aplikasi Samsung SmartThings yang mesra pengguna. Selepas menyambungkan peranti berkenaan dengan telefon pintar anda secara Bluetooth, anda boleh memilih sumber masukan (input) anda dengan mudah untuk mula memainkan muzik.
Aplikasi berkenaan menawarkan kawalan mod bunyi bagi membolehkan anda memilih mod-mod seperti Standard, Music dan Adaptive Sound+. Berdasarkan pengamatan saya, mod Standard menawarkan kualiti bunyi keseluruhan yang terbaik merangkumi pelbagai genre muzik selain membenarkan akses ke kawalan penyama (equalizer, EQ) yang penuh. Untuk mod Adaptive Sound+ yang direka untuk mengoptimumkan bunyi berasaskan kandungan dan ruangan semasa pula, pada saya tidak memberikan sebarang perubahan dari segi kualiti bunyi muzik yang dimainkannya.
Lain-lain tetapan yang tersedia di dalam aplikasi SmartThings termasuklah voice enhancement dan night mode. Ciri voice enhancement ini penting untuk meningkatkan kejelasan lontaran suara daripada kandungan yang dimainkan seperti dialog di dalam filem atau drama di TV atau suara dari ceramah-ceramah. Night Mode pula memampatkan volum suara paling tinggi untuk mengelakkan kandungan audio anda mengganggu orang lain apabila dimainkan pabila larut malam.
Selain sokongan main semula muzik, Music Frame juga boleh diintegrasikan ke dalam hab SmartThings anda untuk mengawal pelbagai peranti pintar di rumah anda. Ia membolehkan anda mewujudkan rutin automatik dan mengawal peranti anda yang bersambungan menerusi aplikasi SmartThings atau menggunakan arahan bersuara dengan perkhidmatan seperti Bixby.
Kesimpulan
Samsung Music Frame merupakan penambahan baharu yang inovasi lagi bergaya di pasaran pembesar suara pintar. Ia dengan jayanya menggabungkan kefungsian sesebuah pembesar suara nirwayar dengan ciri-ciri estetika sesebuah bingkai gambar.
Walaubagaiamanapun, kekurangan sokongan Google Assistant serta keperluan ketersesuaian peranti tertentu bagi ciri-ciri unik seperti Q-Symphony mungkin perlu diambil perhatian.
Namun, bagi anda yang mengutamakan gaya, pengubahsuaian dan juga integrasi dengan ekosistem Samsung di rumah anda, Music Frame boleh menjadi pilihan anda yang bagus. Ia mempunyai rekabentuk dan citarasa premium di samping prestasi audio yang mantap.
Samsung Music Frame secara rasminya dijual pada harga RM1,999 di pasaran Malaysia dan didatangkan denga hanya warna hitam pada bingkainya. Buat masa ini Samsung menawarkan rebat istimewa RM500 bagi pembelian secara dalam talian di laman Samsung Malaysia, menjadikan harganya boleh didapati pada RM1,499.