Cyberjaya, 30 Julai 2026 – Selepas mencipta fenomena luar biasa di Malaysia dan Asia Tenggara, Papa Zola The Movie kini meluaskan pengaruh “Kebenaran” di pentas antarabangsa menembusi pawagam di Asia Pasifik dan Timur Tengah sepanjang September 2026.
Filem animasi terbitan MONSTA ini bakal memulakan tayangan di Korea Selatan pada 2 September, diikuti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait pada 23 September, selain turut memasuki pawagam di Australia, New Zealand dan India.
Pencapaian tersebut mencatat satu lagi sejarah baharu apabila Papa Zola The Movie menjadi filem animasi Malaysia dengan edaran pawagam paling meluas di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi simbol kemajuan industri animasi Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan filem antarabangsa serta mendapat penerimaan merentas budaya dan bahasa.
Kejayaan membawa Papa Zola The Movie ke lebih banyak negara hadir selepas filem ini mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih kutipan box office lebih RM69 juta dan menarik lebih 4.5 juta penonton di seluruh Asia Tenggara, sekali gus muncul sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Pengarah Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Aabidin, berkata kejayaan ini mencerminkan keyakinan rakan pengedar antarabangsa terhadap kualiti kandungan animasi Malaysia.
“Setiap pasaran baharu yang menerima Papa Zola The Movie merupakan satu pengiktirafan terhadap kemampuan karya kreatif tempatan untuk bersaing di peringkat global. Kami amat bersyukur dengan sokongan penonton dan kepercayaan yang diberikan oleh rakan-rakan pengedar antarabangsa. Ia menjadi pemangkin untuk kami terus menghasilkan karya bertaraf dunia yang dekat di hati penonton.”
Momentum Papa Zola The Movie akan diteruskan menerusi Papa Pipi Series, siri animasi baharu yang menampilkan Papa Zola, Mama Zila dan Pipi Zola dalam lebih banyak kisah kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan seharian. Siri itu bakal menemui penonton dan peminat “Kebenaran” di platform penstriman Netflix dan Monsta Network (YouTube) menjelang penghujung 2026.












