Malaysia Internet Exchange (MyIX) telah mengumumkan negara kita telah merekodkan permintaan lebar jalur tertinggi pada Disember 2022 dengan mencatatkan 1.9 terabit per saat (Tbps). Angka ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding 588 Gigabit per saat (Gbps) yang dicatatkan pada Mei 2020.
Menurut Bernama, Pengerusi MyIX Chiew Kok Hin menyatakan peningkatan permintaan lebar jalur ini menunjukkan Internet dan ekonomi digital amat berkait rapat dengan gaya hidup dan budaya kerja rakyat Malaysia terutama dalam kaedah kerja hibrid.
Melalui inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), MyIX setakat ini mempunyai sejumlah 132 sistem berautonomi dengan 210 port.
Beliau turut menerangkan dengan lebih lanjut MyIX kini sedang melihat ke arah dasar yang lebih mesra pelabur dengan kerajaan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau. Permintaan berkaitan sektor teknologi ini juga dijangka akan terus meningkat seiring dengan strategi Malaysia Digital yang memacu penerimaan dan peluang di dalam ekonomi digital bagi menyokong pelan pemulihan negara.
Lanjutan dari itu juga, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru-baru ini telah menyebut ekonomi digital Malaysia telah menyumbang sebanyak 22.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Angka ini dijangka akan terus meningkat kepada 25.5% menjelang 2025.