Touch ‘n Go eWallet secara rasminya telah melancarkan kad Visa Prepaid Touch ‘n Go (TNG) dan permohonan untuk mendapatkannya kini sudah dibuka kepada semua pengguna bermula dari hari ini.
Kad prabayar fizikal ini membolehkan pengguna TNG eWallet menggunakannya untuk pembayaran melalui kad termasuk paywave di kesemua tempat yang menyokong Visa di seluruh dunia. Transaksi pembayaran pada kad berkenaan akan ditolak dari baki eWallet.
Ketika majlis pelancaran kad berkenaan pada siang tadi, rekaan kad tersebut dihasilkan oleh Damien Wong, artis berbakat dari United Voice yang menghidap penyakit autisme. Rekaan berkenaan berasaskan hasil catan yang mengandungi percikan warna biru, hijau dan kuning yang menggambarkan pandangan dunia dari mata Damien.
Menurut Touch ‘n Go, pihaknya telah membeli hasil karya tersebut terus dari Damien dengan sumbangan sebanyak RM2 bagi setiap permohonan kad tersebut akan diberikan kepada United Voices.
Kad Visa TNG merupakan kad nirnombor (numberless) pertama yang mensasarkan lebih privasi dan juga mencegah aktiviti penipuan. Perincian mengenai kad berkenaan boleh dilihat dari aplikasi Touch ‘n Go untuk membolehkan transaksi dalam talian dapat dilakukan. Ciri keselamatan kad sepeti membekukan kad dan membuat penetapan PIN juga boleh diuruskan di dalam aplikasi eWallet berkenaan.
Boleh digunakan di hampir semua tempat kecuali…
Buat masa ini terdapat lebih dari 80 juta perkhidmatan dan perniagaan serta ATM di seluruh dunia yang menyokong penggunaan kad Visa TNG ini. Bagaimanapun, kad ini tidak boleh digunakan pada terminal TNG biasa di plaza tol lebuhraya dan parkir kerana kekangan teknologi, menurut penerangan dari Touch ‘n Go.
Kad Visa TNG ini ditawarkan secara percuma dan pengguna hanya dikenakan bayaran RM5.00 bagi tujuan penghantaran buat masa ini. Kad berkenaan mempunyai had transaksi RM5,000 sehari. Menurut pihak Touch ‘n Go, had transaksi harian ini ditetapkan bagi tujuan keselamatan dan nilai tersebut adalah mencukupi bagi 99% penggunanya. Touch ‘n Go juga menjamin kad Visa ini disokong oleh protokol keselamatan Touch ‘n Go eWallet dan juga hadir dengan Jaminan Pulangan Tunai.
Kadar bayaran RM1.40 dikenakan untuk pengeluaran ATM di Malaysia dan RM5.00 bagi pengeluaran ATM di luar negara. Lembaran produknya juga menyatakan bayaran tahunan RM8.00 dan bayaran permohonan RM10.00 juga dikenakan untuk kad ini, namun ia dikecualikan buat masa ini sehingga diberitahu kelak.
Maklumat lanjut, layari Touch ‘n Go.