Ookla, syarikat alatan menganlisis prestasi rangkaian terkemuka, Speedtest telah menerbitkan laporan terkini berhubung prestasi internet di Malaysia. Laporan tersebut memfokuskan data dari suku ketiga hingga suku keempat 2020 merangkumi internet mudah alih dan juga jalur lebar talian tetap.
Sungguhpun terdapat sedikit peningkatan bagi kelajuan muat turun mudah alih di Malaysia, ianya dilihat terlalu kecil.
Apabila dibandingkan data dari suku ketiga hingga suku keempat 2019 dengan suku yang sama pada 2020, perubahannya cuma 2.41Mbps. Ini berdasarkan kelajuan muat turun purata bagi suku ketiga hingga suku keempat 2020 di Malaysia adalah 24.53Mbps.
Jika melihat pada kedudukan kelajuan muat turun mudah alih di rantau Asia Tenggara, Malaysia masih lagi kekal di tangga keempat, sama seperti pada tahun 2019. Tahap pencapaian kita masih lagi ketinggalan di belakang Vietnam, Thailand dan Singapura dengan beza kelajuan di antara 8.61Mbps hingga 44.33Mbps.
Begitu juga bagi kedudukan kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap Malaysia yang masih lagi kekal di tangga ketiga. Sungguhpun terdapat peningkatan antara suku tahunan yang sama bagi 2019 dan 2020 iaitu sekitar 15Mbps, kelajuan muat turun purata Malaysia adalah pada 90.88Mbps.
Pun begitu, carta di atas menunjukkan tidak banyak perubahan yang dibawakan oleh Malaysia untuk kelajuan memuat naik. Vietnam telah pun melepasi Malaysia dari segi kelajuan memuat naik dengan perubahan yang mendadak.
Walaupun tidak banyak peningkatan dari segi kelajuan mudah alih di Malaysia, pihak Ookla yakin keadaan bakal berubah apabila pelaksanaan 5G untuk kegunaan komersil bermula pada penghujung tahun ini.