Pengguna Touch ‘n Go (TnG) eWallet kini dapat memanfaatkan peluang pelaburan baharu menerusi fungsi GO+ yang ditawarkan di dalam aplikasi berkenaan.
Subsidiari Touch ‘n Go, TNG Digital yang bertanggungjawab bagi pelaburan ini telah mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Januari lalu. Ini membolehkan perkhidmatan pelaburan sedemikian dapat ditawarkan menerusi platform berkenaan.
Menerusi ruangan soalan lazim rasminya, perkhidmatan baharu ini membolehkan pengguna menjana pendapatkan berdasarkan jumlah amaun di dalam akaun GO+. Serta, ianya diasingkan dengan nilai baki di dalam TnG eWallet pengguna.
Bagaimanapun, tidak seperti anda mendepositkan ke dalam bank, menerusinya anda akan melabur di dalam dana pasaran wang dengan risiko yang rendah.
Dana tersebut dikenali sebagai Principal e-Cash, dan diuruskan oleh Principal Asset Management. Ianya merupakan syarikat pengurusan dana melalui usahasama di antara Principal Financial Group dan CIMB Group Holdings Berhad.
Direka untuk kegunaan umum, GO+ memerlukan nilai pelaburan serendah RM10 sahaja. Sesebuah akaun dibenarkan untuk melabur sehingga RM9,500. Anda juga boleh membuat permohonan pengeluaran tunai pada bila-bila masa.
Kesemua pengguna TnG eWallet di Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas layak untuk menaik taraf ke akaun GO+. Pengguna juga dikehendaki untuk melengkapkan proses verifikasi identiti.
Walaubagaimanapun, TNG Digital menyatakan dana yang dilaburkan ini tidak patuh syariah.
Melalui GO+, TnG eWallet menjadi perkhidmatan edompet pertama di Malaysia yang membenarkan penggunanya membuat pelaburan.