Kazakhstan dilaporkan berdepan dengan kekurangan bekalan tenaga elektrik yang dipercayai berpunca dari peningkatan mendadak dari aktiviti perlombongan kriptowang di negara berkenaan.
Menurut laporan dari The Financial Times, Kementerian Tenaga Kazakhstan menjangkakan permintaan untuk bekalan tenaga elektrik untuk tahun ini telah melonjak sehingga lapan peratus. Seterusnya telah menyebabkan terputusnya bekalan elektrik di enam wilayah sejak Oktober lalu.
Pihak berkuasa tempatan telah mengenalpasti punca gangguan bekalan elektrik dari yang disebabkan oleh aktiviti perlombongan kriptowang secara haram. Aktiviti tersebut didapati dilakukan di premis-premis kediaman dan juga di kilang-kilang.
Dipercayai, peningkatan aktiviti ini turut disebabkan oleh keputusan kerajaan China mengharamkan perlombongan kriptowang pada Mei lalu. Perkembangan ini telah menyebabkan firma-firma perlombongan telah memindahkan operasi mereka di negara-negara lain termasuk Kazakhstan.
Portal The Financial Times turut menambah, penggunaan elektrik telah melonjak di negara-negara Asia Tengah selepas dari pengharaman di China dikuatkuasakan.
Laporan berkenaan juga menyebut, terdapat 50 pelombong kriptowang yang berdaftar di Kazakhstan. Pengendali grid elektrik tempatan, Kazakhstan Electricity Grid Operating Company (KEGOC) telah mula mencatu bekalan elektrik untuk pelombong selepas penggunaanya yang tinggi tersebut telah memaksa tiga buah janakuasa elektrik ditutup.
Syarikat utiliti berkenaan juga menyatakan pihaknya akan menutup bekalan elektrik pelombong berlesen ini terlebih dahulu jika gangguan bekalan elektrik berlaku sekali lagi.
Sebagai langkah sementara kekurangan bekalan tenaga elektrik ini, Kazakhstan dilaporkan telah meminta bantuan dari syarikat utiliti Russia untuk menampung keperluannya. Dalam pada masa yang sama, pelombong-pelombong yang berlesen akan dikenakan bayaran ganti rugi KZT1 (~RM0.0097) bagi setiap kilowat/jam bermula 2022.
Seperti yang kita sedia maklum, perlombongan kriptowang memerlukan sumber bekalan elektrik yang tinggi. Selain Kazakhstan dan China, beberapa negara seperti Iran dan Malaysia juga mula mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti perlombongan secara haram menggunakan bekalan elektrik yang dicuri.