Harga bagi pemprosesan grafik di China catat penurunan berikutan operasi membanteras kegiatan perlombongan, pemilikan dan perdagangan kriptowang besar-besaran.
Pihak berkuasa China menolak matawang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum disebabkan oleh faktor nilainya yang tidak konsisten serta mudah dimanipulasi.
Beberapa wilayah seperti di Sichuan, Mongolia Dalam, dan Xinjiang telah mengharamkan perlombongan kripto. Langkah ini telah mengurangkan permintaan perkakasan, lantas menyebabkan harga perkakasan telah menurun.
Model-model GPU sama ada baharu atau lama telah memperlihatkan penurunan harga. Model Nvidia Quatro P1000 yang dilancarkan pada 2017 kini dijual pada harga 2,429 yuan (~RM 1,559) di JD.com, laman e-perdagangan popular di China, berbanding 3,000 yuan (~RM 1,924) sebelum ini. Asus GeForce RTX3060 yang diumumkan pada awal tahun ini pula telah menurun dari 13,499 yuan (~RM 8,655) kepada 4,699 yuan (~RM 3,164) di Tmall, sebuah lagi laman e-perdagangan China.
Trend ini juga dilihat sudah mula berlaku di pasaran-pasaran lain di seluruh dunia.
Ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi peminat pembina PC buatan sendiri dan pemain permainan komputer yang sedang mencari perkakasan pada harga munasabah. Nvidia sebelum ini juga telah mengumumkan akan menyekat keupayaan perlombongan kripto bagi menegah GPU GeForce RTX keluarannya dari digunakan untuk melombong.
Operasi membanteras akibatkan harga Bitcoin menjunam
Tiada tanda-tanda pihak berkuasa China akan memperlahankan operasi membanteras kegiatan kriptowang ini. The People’s Bank of China juga telah mengingatkan institusi-institusi kewangan yang lain tidak mempromosikan matawang terbabit atau menyediakan perkhidmatan akaun berkenaan dengannya.
Kegiatan ini dikatakan akan mengganggu peraturan ekonomi dan kewangan normal dan meningkatkan risiko pemindahan aset secara haram ke luar negara. Ia juga dikatakan terdedah kepada aktiviti penggubahan wang haram dan lain-lain aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan harta rakyat, menurut bank pusat negara China berkenaan.
Tindakan China ini juga telah memberikan kesan besar terhadap kriptowang paling popular pada ketika ini, Bitcoin. Harga bagi setiap koinnya telah meningkat sekitar $40,000 (~RM 165,000) pada pertengahan Jun lalu, tetapi telah merosot sejak dari itu dan kini telah jatuh kepada sekitar $31,713 (~RM 131,529). Jumlah ini jauh berbeza pada April lalu yang pernah mencatatkan $63,000 (~RM 261,292) per koin.
Berdasarkan laporan dari akhbar China, sekitar 90% dari jumlah lombong kripto telah ditutup di wilayah-wilayah seperti di Sichuan dan Xinjiang. Penutupan lombong-lombong kripto ini juga akan mengurangkan jumlah penggunaan tenaga di China, selaras dengan sasaran menjadikan China negara neutral karbon menjelang tahun 2060.