Platform media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dikatakan akan mengenakan bayaran terhadap pengguna baharu yang ingin membuat ‘hantaran (post)’, ‘suka (like)’, ‘balas (reply)’, dan ‘tandaan (bookmark)’ ketika menggunakannya, menurut Elon Musk.
X Daily News, yang memberikan suapan kemaskini berkenaan X pada hari ini telah menemukan untaian teks di dalam laman web yang telah dikemaskini dengan menyatakan sedikit bayaran tahunan yang perlu dibayar oleh pengguna baharu jika mengakses ke rangkaian media sosial berkenaan.
Elon Musk di dalam maklumbalasnya menyatakan bayaran untuk pengguna baharu tersebut merupakan “satu-satunya cara untuk membanteras kegiatan bot-bot (akaun palsu).”
Ciri pembayaran tersebut sebelum ini telah diuji kepada pengguna di New Zealand dan Filipina dan menurut Elon Musk lagi, ia hanya untuk pengguna-pengguna X baharu sahaja.
Apabila pengguna baharu mendaftar, mereka perlu membuat pembayaran atau menunggu selama tiga bulan sebelum boleh menggunakan rangkaian media sosial terbabit. Tidak dapat dipastikan sama ada pengguna berkenaan boleh membuat hantaran secara percuma selepas tempoh tiga bulan tersebut. Cuma Elon Musk mengesahkan “tindakan menulis” akan diberikan secara percuma selepas tempoh tersebut.
Tidak dapat dipastikan sejauh mana keberkesanan langkah tersebut dapat membanteras akaun-akaun palsu dan mengganggu di platform X. Ini kerana akaun-akaun berkenaan boleh sahaja terus membayar atau menghasilkan sejumlah besar akaun baharu dan menunggu sehingga tempoh tiga bulan tamat.
Dalam pada masa yang sama, akaun-akaun biasa yang ikhlas menggunakan media sosial mungkin ‘malas’ untuk mendaftar di dalam X dan memilih platform-platform lain yang percuma.
Bayaran yang dikenakan kelak mungkin sekitar $1 atau bersamaan ~RM4.76 dan buat masa ini, bayaran akses kepada pengguna baharu masih lagi belum dilaksanakan di negara lain selain dari New Zealand dan Filipina.