Lambat laun bekalan unit pemprosesan grafik (GPU) akan menjadi semakin banyak dengan sebahagian besar daripadanya memasuki pasaran berikutan dari kejatuhan harga matawang kripto. Perkara ini mungkin menjadi khabar gembira buat peminat permainan berkomputer yang sebelum ini giat mencari kad grafik untuk PC desktop pada harga yang berpatutan.
Tambahan pula, harga kad grafik di pasaran kini sudah mula kembali pulih kepada harga wajarnya seperti sebelum kegilaan perlombongan kripto mula terjadi. Justeru, pasaran bakal dilambakkan dengan sejumlah kad grafik terpakai yang pernah digunakan bagi tujuan perlombongan kripto sebelum ini.
Bagaimanapun, tidak semua peminat permainan berkomputer berminat untuk menggunakan kad grafik terpakai tersebut. Menurut Videocardz, di China peminat tidak begitu cenderung untuk menggunakan kad grafik terpakai kerana berpotensi untuk mengalami kerosakan di masa akan datang. Hal ini boleh berlaku disebabkan kad grafik tersebut besar kemungkinan pernah diperah tenaganya ketika digunakan sebagai peralatan melombong matawang kripto.
Selain itu, NVIDIA dan AMD juga dikhabarkan akan mengumumkan senibina baharu generasi berikut GPU masing-masing pada tahun ini. NVIDIA dikatakan akan mengumumkannya pada September ini, dengan AMD pula dijangkakan akan mengumumkan senibina baharu RDNA3 pada Disember.
Keadaan ini telah memaksa syarikat dan penjual kad grafik di China menjual harga stok masing-masing di bawah harga pasaran. Misalnya NVIDIA GeForce RTX 3090 Ti dijual pada harga RMB9,499 (~RM6,266), kurang 38% berbanding harga asalnya iaitu RMB14,999 (~RM9,895).