Mahkamah Perantaraan Rakyat Hangzhou di China baru-baru ini memutuskan syarikat teknologi tidak boleh memberhentikan pekerja semata-mata untuk menggantikan tenaga kerja manusia dengan alat kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan penjimatan kos.

Kes ini melibatkan seorang pekerja teknologi kanan yang dikenali sebagai Zhou yang bertugas sebagai penyelia jaminan kualiti. Syarikat teknologi tersebut dilaporkan telah cuba menurunkan pangkat Zhou. Beliau ditawarkan posisi alternatif yang melibatkan pemotongan gaji secara drastik selepas pelaksanaan sistem AI dalam operasi mereka.

Apabila Zhou menolak tawaran yang tidak munasabah itu, syarikat beliau telah memecatnya. Tindakan ini kemudiannya disahkan oleh mahkamah sebagai penamatan kerja yang tidak sah.

Menurut Peguam dari Firma Guaman Zhejiang Xingjing, Wang Xuyang, “Walaupun syarikat-syarikat mungkin meraih manfaat daripada peningkatan kecekapan yang dipacu oleh AI, mereka juga mesti memikul tanggungjawab sosial yang sepadan dan penggantian kerja oleh AI tidak secara automatik mewajarkan penamatan kontrak buruh”.

Mahkamah menetapkan bahawa penggunaan teknologi AI adalah satu keputusan perniagaan sukarela. Ia tidak melayakkan untuk dianggap sebagai “perubahan besar dalam keadaan objektif” (seperti bencana alam atau perubahan polisi) di bawah Undang-undang Kontrak Pekerjaan China.

Syarikat didapati gagal membuktikan bahawa pekerja terbabit sememangnya mustahil untuk dikekalkan di dalam organisasi.

Tawaran tugasan baharu dengan pengurangan gaji yang ditawarkan kepada pekerja dianggap sebagai cadangan penempatan semula yang tidak munasabah.

Mahkamah berkenaan menegaskan syarikat yang memilih untuk menggunakan AI perlu berunding dengan pekerja, menawarkan latihan semula, dan menyediakan penempatan kerja baharu yang adil sebelum memberhentikan pekerja.

Keputusan kes ini menetapkan satu duluan (precedent) penting bagi melindungi hak pekerja pada saat gelombang automasi dan penggunaan AI membanjiri sektor teknologi.

Ini juga menjadi isyarat jelas bahawa majikan tidak boleh melepaskan bebanan risiko peralihan inovasi teknologi kepada pekerja mereka tanpa rundingan atau penyelesaian yang selari dengan undang-undang buruh.

Tinggalkan komentar