Shopee telah mengeluarkan notis kepada para penjual mengenai tarikh akhir pengeposan mengikut saluran penghantaran. Langkah ini diambil bagi memastikan setiap pesanan dapat diproses dengan lancar dan diserahkan kepada pembeli tepat pada masanya sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kebanyakan perkhidmatan kurier utama di Malaysia telah menetapkan tarikh akhir pada pertengahan Mac 2026.
Menurut Shopee, penjual dinasihatkan untuk mengepos pesanan dalam jangka masa yang ditetapkan agar pembeli dapat menerima pembelian mereka sebelum sambutan perayaan.
Berikut adalah senarai tarikh akhir logistik serta ciri panduan diumumkan:
- 16 Mac 2026: Tarikh akhir pengeposan bagi bungkusan di Semenanjung Malaysia, membabitkan kurier seperti Pos Laju, Ninja Van, DHL eCommerce, GDEX, dan City-Link Express.
- 13 Mac 2026: Tarikh akhir bagi penerimaan bungkusan untuk penghantaran ke Sabah dan Sarawak.
- Operasi Shopee Support Logistics (SSL): Rangkaian logistik sokongan Shopee akan terus beroperasi sebelum Hari Raya bagi melancarkan proses pemenuhan pesanan dan mengelakkan risiko kelewatan.
- Penghantaran Selepas Tarikh Tutup: Mana-mana pesanan yang dipos oleh penjual selepas tarikh akhir ini hanya akan diserahkan kepada pembeli selepas cuti Hari Raya tamat.
Sebagai persediaan tambahan, penjual digalakkan untuk memproses dan mengepos pesanan seawal yang mungkin. Penjual turut disarankan untuk menggunakan kemudahan Laluan Keutamaan Shopee (Shopee Priority Lanes) di cawangan kurier terpilih untuk penyerahan bungkusan yang lebih pantas.
Bagi penjual yang menjangkakan sebarang masalah kelewatan, mereka digalakkan untuk menukar senarai produk kepada mod pra-pesanan (pre-order) atau mengaktifkan Mod Percutian (Vacation Mode) bagi menghentikan penerimaan pesanan baharu sementara waktu. Shopee akan mengumumkan pelarasan lanjut berhubung Ship by Date (SBD) dalam masa terdekat.













