Rekaan baharu pada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max baharu sekali imbas dilihat tidak membawa perubahan besar berbanding rekaan sebelumnya. Akan tetapi, jika dilihat dengan lebih teliti anda akan dapati satu perubahan yang menarik pada bahagian berpenebuk lubang di paparannya.
Bahagian berpenebuk lubang tersebut turut didatangkan dengan ciri kepenggunaan baharu yang dinamakan oleh Apple sebagai Dynamic Island. Ia digunakan untuk memaparkan pemberitahuan, notifikasi atau panggilan yang diterima oleh pengguna dengan meluaskan bahagian berpenebuk lubang berkenaan.
Selain itu, ciri Dynamic Island ini juga merupakan salah satu cara untuk ‘menyembunyikan’ bahagian berpenebuk lubang pada paparannya. Fungsi tersebut juga akan memaparkan aktiviti-aktiviti lain seperti main semula muzik, pengesanan Face ID, status pengecasan bateri, jam pemasa, dan juga keputusan semasa acara-acara sukan.
Isi Kandungan
Kamera iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max
Sistem kamera yang ditempatkan pada lubang kamera sebelah paparannya ini juga menempatkan sebuah kamera 12MP f/1.9 dengan sistem kamera TrueDepth. Ia juga menyediakan sokongan rakaman video Cinematic Mode yang dipertingkatkan bersama-sama kualiti rakaman sehingga 4K HDR pada 30 fps.
Modul kamera belakang iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max pula hadir dengan kamera utama kuad-piksel 48MP f/1.78 bersama-sama kamera ultra-lebar 12MP f/2.2 dan telefoto 12MP f/2.8 dengan kamera optikal 3x. Menarik pada kamera tengahnya iaitu 48MP tersebut menyediakan zum optikal 2x pada resolusi 12MP tanpa mengubah kepada zum digital.
Rakaman video pada iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max turut mneyediakan sokongan Action Mode yang menyediakan kestabilan seperti menggunakan gimbal. Manakala Cinematic Mode pula kini menyokong sehingga 4K HDR pada 30 fps.
Apple juga telah memperkenalkan Photonic Engine pada kedua-dua peranti yang bertujuan membantu meningkatkan prestasi fotografi dalam keadaaan pencahayaan yang rendah dan sederhana pada kesemua kameranya dengan memanfaatkan Deep Fusion pada peringkat awal pemprosesan pengimejan.
Always-On Display pada iPhone 14 Pro
Pelancaran siri iPhone 14 Pro juga menandakan kemunculan pertama ciri Always-On Display ke siri iPhone. Ia dapat dilaksanakan melalui penggunaan teknologi LTPO yang membolehkan kadar penyegaran semula paparan Super Retina XDR OLED baharu dengan ProMotion direndahkan sehingga 1Hz.
Apple turut menjelaskan skrin pada kedua-dua model Pro ini juga lebih cerah sehingga 2,000 nits apabila berada di luar. Saiz skrin iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max masih kekal dengan masing-masing 6.1-inci dan 6.7-inci dan turut dilindungi dengan Ceramic Shield.
Berbeza dengan iPhone 14 dan iPhone 14 Plus yang dilengkapkan dengan A15 Bionic, model Pro dan Pro Max pula menggunakan A16 Bionic. Dibina menggunakan teknologi pembuatan 4nm, Apple mendakwa CPU 6-teras di dalamnya adalah 40% lebih pantas berbanding persaingnya disamping turut mengandungi 5 teras GPU dan 16 teras Neural Engine.
Casis bagi model Pro dan Pro Max ini juga masih lagi kekal dengan keluli tahan karat. Untuk baterinya pula, ia dikatakan mampu bertahan sehingga 29 jam untuk main semula video.
Harga iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max di Malaysia
Anda boleh membuat pra-tempahan bermula dari 16 September ini dan mula menerima dari 23 September ini. Berikut adalah senarai harga iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max di Malaysia:
- iPhone 14 Pro / Pro Max 128GB: RM5,299 / RM5,799
- iPhone 14 Pro / Pro Max 256GB: RM5,799 / RM6,299
- iPhone 14 Pro / Pro Max 512GB: RM6,799 / RM7,299
- iPhone 14 Pro / Pro Max 1TB: RM7,799 / RM8,299
Harga yang ditawarkan pada versi kali ini menyaksikan peningkatan sekitar RM400 sehingga RM700 dari iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max ketika dilancarkan pada tahun lepas. Untuk maklumat anda, tiada pengecas disediakan bersama-sama kotak pembelian iPhone keluaran tahun 2022 ini.