Samsung telah mengenalpasti beberapa kekurangan utama Z Flip 3 sebelum ini dan telah mengatasinya menerusi model terkini pada tahun ini. Antara yang ditambahbaik termasuklah bateri yang lebih besar kapasitinya tanpa menambah saiz bentuk fizikalnya.
Rekabentuk boleh lipatnya tidak perlu diubah terlalu ketara kerana bentuk sedia adanya sudah dianggap praktikal dan ikonik dengan siri ini. Cuma, apa yang baharu pada Samsung Galaxy Z Flip 4 ini?
Penambahbaikan yang diperkenalkan pada siri kali ini lebih kepada berdasarkan dari maklumbalas pengguna yang lebih menumpukan pada dalamannya kerana luaran Samsung Galaxy Z Flip 4 sekali pandang kelihatan sama seperti modelnya yang terdahulu.
Rekaan Samsung Galaxy Z Flip 4
Apa yang membezakan sedikit adalah pada bucunya yang kelihatan ‘lebih petak’ berbanding Galaxy Z Flip 3 sebelum ini. Bersama-sama dengannya disediakan ruangan hitam yang menempatkan dua buah kamera belakang dan juga paparan luaran. Bahagian luarannya juga ini turut diperkasakan dengan Gorilla Glass Victus Plus yang dipadankan kerangka Armor Aluminum mengikut warna pilihannya.
Warna-warna pilihan yang ditawarkan bagi siri ini adalah Graphite, Pink Gold, Bora Purple, dan Blue selain turut menawarkan lebih banyak padanan warna dengan Bespoke Edition.
Kerangka bagi siri kali ini juga kelihatan lebih trampil manakala permukaan belakangnya kini hadir dengan kemasan berkabut (matte) berbanding berkilat (gloss) sebelum ini. Kemasan ini mampu memberikan lebih gaya selain mengurangkan kesan cap jari pada permukaannya.
Sungguhpun saiz skrinya masih lagi sama dengan Galaxy Z Flip 3, Samsung mampu menjadikan saiz keseluruhan Galaxy Z Flip 4 ini lebih kecil. Apabila dilipatkan, bahagian engselnya juga tidak begitu terjojol keluar berbanding model sebelum ini disamping ketinggiannya apabila dilipat kini 1.5mm lebih rendah.
Jika dilihat dari sebelah tepinya, jarak antara bahagian lipatan masih lagi jelas kelihatan sama seperti model terdahulu. Ruangan ini mengakibatkan habuk-habuk mudah terlekat di celahan terutamanya apabila memasukkan ke dalam kocek seluar.
Pun begitu, sama seperti model sebelumnya, Galaxy Z Flip 4 menawarkan kerintangan air IPX8 yang memberikan anda kelegaan sekiranya anda terjatuhkannya ke dalam air secara tidak sengaja. Ia sesuatu yang amat jarang ditawarkan pada mana-mana telefon pintar boleh lipat setakat ini. Malah, Galaxy Z Flip 4 terbukti kelasakannya sepanjang tempoh kami mengulasnya. Cuma apa yang sedikit menganggu adalah habuk yang mudah terlekat padanya.
Paparan Samsung Galaxy Z Flip 4
Sama juga seperti Flip 3, Samsung Galaxy Z Flip 4 masih lagi menawarkan panel paparan Dynamic AMOLED 2X Full HD+ (2640 x 1080) 6.7-inci pada sebelah dalamnya. Kadar penyegarannya menawarkan paparan sehingga 120Hz dan boleh direndahkan sehingga 1Hz pada keadaaan tertentu bagi meningkatkan tempoh penggunaan baterinya.
Kualiti visualnya menarik untuk resolusi ini. Manakala kesan lipatannya pula tidak begitu kelihatan jika dilihat secara berdepan walaupun masih dapat dirasakan sedikit pada jari apabila anda melalukannya pada bahagian tersebut. Namun, secara keseluruhannya ia tidak mengganggu penggunaannya seperti kita menggunakan telefon pintar bentuk biasa.
Bentuk Samsung Galaxy Z Flip 4 sedikit berbeza dengan telefon biasa kerana hadir dengan nisbah aspek 22:9 yang membuatkan ia kelihatan memanjang. Ia berguna untuk fungsi berbilang tugasan yang membahagikan skrin dan juga memainkan video atau permainan pada paparan berskrin lebar.
Skrin utamanya ini juga dilindungi oleh Samsung UTG (Ultra-thin glass) 2.0 versi baharu yang menurut Samsung 20% lebuh kuat berbanding sebelumnya. Saya juga mendapati ia mampu bertahan dari kesan calar kerana pernah saya secara tidak sengaja menggoreskan dengan syiling. Lagipun, faktor boleh dilipatnya juga mengurangkan risiko paparannya dari dicalarkan.
Apa yang menarik, paparannya yang boleh dilipat ini memberikan rasa seperti memegang permukaan kaca. Pastinya para jurutera dan saintis bahan yang menyumbangkan dalam pembangunan teknologi paparan boleh lipat ini telah berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan.
Seterusnya, untuk paparan hadapan (cover display) Galaxy Z Flip 4 pula masih lagi menawarkan panel paparan Super AMOLED beresolusi 260 x 512, 60Hz 1.9-inci seperti model tahun lepas.
Perisian Samsung Galaxy Z Flip 4
Pada kebanyakan masa, saya menggunakan paparan hadapan Samsung Galaxy Z Flip 4 ini seperti jam saku futuristik kerana secara lalai (default) ia akan memaparkan muka jam pada paparan utamanya. Anda juga boleh menambah pelbagai wijet (widget) pada paparan mini ini dengan memasukkan pelbagai fungsi. Antaranya notifikasi, main semula muzik (Spotify, YouTube Music dan sebagainya), kalendar, Samsung Health, Samsung Wallet, panel kawalan peranti pintar di rumah SmartThings, balas semula segera dan pelbagai tetapan umum pantas.
Flex Mode juga kembali pada Samsung Galaxy Z Flip 4 yang memanfaatkan kelebihan engselnya yang teguh dengan membolehkan paparan dan fungsinya digunakan dalam pelbagai sudut.
Buat masa ini, aplikasi-aplikasi popular seperti YouTube dan Google Meet telah menawarkan sokongan Flex Mode. Manakala aplikasi lain seperti Meta Messenger telah menguji fungsi tersebut. Ciri-ciri lain seperti berbilang tetingkap juga telah dioptimasikan untuk Flex Mode dengan menawarkan pilihan kawalan gestur mudah pada bahagian bawah skrin mod ini.
Semua ciri-ciri yang ditawarkan ini dibina melalui antaramuka Samsung One UI yang berasaskan Android 12. Seperti biasa, One UI 4.1.1 menawarkan pelbagai pilihan pemperibadian melalui tema-tema yang boleh anda muat turun dari gedung Samsung Galaxy. Antaramuka ini juga menawarkan ciri mesra pengguna yang memudahkan anda mengendalikan pengoperasian harian Samsung Galaxy Z Flip 4. Tidak cukup dengan itu, Samsung turut menyediakan tutorial bersama-sama fungsi yang ditawarkan bagi memudahkan penggunaannya.
Sokongan untuk pembayaran secara nirwayar juga disediakan melalui Samsung Wallet yang boleh anda gunakannya dengan memautkan dengan kad debit/kredit anda dan juga Goolge Pay.
Prestasi dan Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 4
Cipset yang digunakan oleh telefon pintar boleh lipat Samsung baharu ini adalah jenis yang selalu didapati pada telefon pintar mercu keluaran terkini. Qualcomm Snapdragon 8 Plus Gen 1 dikuasakan oleh teras CPU Cortex-X2 dengan klok 3GHz, dua teras Cortex-A710 pada klok 2.5GHz, dan empat teras berkecekapan tenaga Cortex-A510 dengan klok 1.8GHz.
Ia dibantu oleh RAM 8GB dan juga pilihan storan UFS 3.1 dari 128GB sehingga 512GB. Sebelum ini Samsung tidak menawarkan pilihan storan 512GB pada Galaxy Z Flip 3. Penambahan pilihan ini membolehkan anda mempunyai lebih banyak ruangan untuk menyimpan di dalamnya.
RAM sebanyak 8GB boleh dikirakan sudah memadai untuk penggunaan harian dan juga memainkan permainan mudah alih berkeperluan grafik tinggi. Pun begitu, kapasiti ini dilihat agak sederhana sahaja jika kita bandingkan dengan Galaxy Z Fold 4 yang menawarkan sehingga 12GB.
Berdasarkan pengalaman saya menggunakan Galaxy Z Flip 3 sebelum ini, Galaxy Z Flip 4 dijangka mampu menawarkan prestasi terbaik untuk satu jangka masa tempoh yang panjang. Tambahan pula, Samsung menjanjikan penyediaan sokongan kemaskini sistem operasi Android untuk empat tahun dan juga lima tahun untuk keselamatan. Ini seterusnya membuatkan Galaxy Z Flip 4 sebagai pilihan yang tepat untuk kegunaan jangka masa panjang.
Bateri Samsung Galaxy Z Flip 4
Saiz yang sedikit kecil berbanding model terdahulu tidak menghalang Samsung Galaxy Z Flip 4 menawarkan bateri berkapasiti yang lebih besar. Ia kini berkapasiti 3,700mAh berbanding 3,300mAh pada Galaxy Z Flip 3, peningkatan sekitar 12%.
Penggunaannya mampu bertahan sehingga satu hari dan ini disokong oleh faktor penggunaan ‘adaptive display’, serta pengurusan tenaga pintar yang mengawal penggunaan tenaga secara dinamik. Selain itu, Galaxy Z Flip 4 juga memperkenalkan menu profil prestasi bateri bagi membolehkan kita menggunakan pilihan baharu ‘light’ yang lebih jimat.
Galaxy Z Flip 4 juga menyokong pengecasan secara berwayar sehingga 25W, secara nirwayar 15W dan pengecasan berbalik nirwayar 4.5W. Ini merupakan penambahbaikan dari model keluaran tahun lepas dari segi sokongan pengecasan pantas.
Pun begitu, seperti kebanyakan model telefon pintar keluaran pada tahun ini, Samsung Galaxy Z Flip 4 tidak menyediakan pengecas bersama-sama di dalam kotak pembeliannya.
Kamera Samsung Galaxy Z Flip 4
Ketiga-tiga kamera yang ditawarkan pada telefon pintar ini iaitu dua di sebelah luar, dan satu di sebelah dalam masih lagi lebih kurang sama dengan Z Flip 3. Kamera sebelah dalamnya 10MP (f/2.4) ditempatkan di tengah-tengah paparan berpenebuk lubangnya. Manakala dua lagi di sebelah luar, utama 12MP (f/1.8) dan ultra lebar 12MP (f/2.2) ditempatkan bersebelahan panel paparan luarannya.
Apertur masing-masing pada kamera-kamera ini lagi sama cuma dibezakan sedikit pada kamera utama 12MP yang hadir dengan sensor yang lebih besar pikselnya 1.8µm berbanding 1.4µm sebelum ini.
Penstabil imej optikal (optical image stabilization, OIS) dan penstabil imej video digital (video digital image stabilization, VDIS) juga kini telah dipertingkatkan prestasinya. Sokongan VDIS yang ditawarkan ini juga amat membantu ketika merakam video menggunakan mod baharu FlexCam.
Anda boleh merakam video seolah-olah menggunakan handycam dengan melipatkan Galaxy Z Flip 4 kepada kedudukan 90-darjah.
Cover Display + Kamera Utama
Penggunaan paparan luarannya juga diperluaskan lagi bagi memudahkan tangkapan gambar segera termasuk di dalam foto potret. Anda juga boleh terus merakam video melalui paparan luaran dan boleh terus menyambung kembali rakaman apabila lipatan Galaxy Z Flip 4 dibuka untuk menggunakan paparan utamannya di sebelah dalam.
Anda juga boleh menggunakan pelbagai fungsi lain menerusi ‘Cover Display’ ini yang membolehkan anda menangkap gambar dan merakam video yang lebih spontan. Caranya adalah dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali untuk menjadikan paparan luaran tersebut sebagai ‘viewfinder’ kamera luarannya.
Fungsi-fungsi kreativiti fotografi dan videografi juga masih lagi disediakan pada Samsung Galaxy Z Flip 4 ini seperti Single Take, Panorama, slow-mo, time-lapse dan juga Director’s View. Kawalan secara manual untuk video dan foto juga disediakan dan sesuai dengan kelebihan FlexCam yang memudahkan anda mengambil foto dan video secara bebas tangan dengan melipatkan separuh Galaxy Z Flip 4 untuk dijadikan seperti cagak (stand).
Kualiti tangkapan foto melalui kamera-kamera Flip 4 boleh dijelaskan sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Hasil foto yang ditangkapkan kelihatan menonjol dari segi warna, kontras yang menarik dan juga perincian yang bagus.
Prestasi kameranya di dalam keadaan kurang pencahayaan juga baik dan boleh dipertingkatkan lagi kejelasannya dengan menggunakan Night Mode.
Kamera pada sebelah dalamnya 10MP juga tidak kurang hebatnya yang mampu mengambil gambar dengan baik termasuk dalam beberapa keadaan kurang pencahayaan.
Swafoto pula boleh digunakan pada ketiga-tiga kamera pada Samsung Galaxy Z Flip 4 ini atas faktor bentuk uniknya dan juga penggunaan paparan luarannya seperti yang dijelaskan tadi.
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 4
- Perisian: OneUI 4.1 (Android 12)
- Paparan dalaman: 6.7-inci FHD AMOLED (2640 x 1080)
- Paparan luaran: 1.9-inch AMOLED (260 x 512)
- Kadar penyegaran semula: 1-120Hz (paparan dalaman sahaja)
- Cipset: Snapdragon 8 Plus Gen 1
- RAM: 8GB
- Storan: 128GB, 256GB, atau 512GB
- Kamera luar: lebar 12MP(f/1.8), 12MP ultralebar (f/2.2)
- Kamera dalam: 10MP (f/2.4)
- Bateri: 3,700 mAh
- Pengecasan: 25W berwayar, 5W nirwayar
- Kerintangan air dan debu: IPX8
- Saiz (dilipat): 2.8 x 3.3 x 0.62 – 0.67 inci (71.9 x 84.9 x 15.9 – 17.1 mm)
- Size (lipatan dibuka): 2.8 x 6.5 x 0.27 inci (71.9 x 165.2 x 6.9mm)
- Berat: 187 gram
- Warna: Bora Purple, Graphite, Pink Gold, Blue
Harga Samsung Galaxy Z Flip 4 di Malaysia
Anda kini boleh memesan Samsung Galaxy Z Flip 4 di eStore Samsung Malaysia pada harga RM4,099 untuk versi storan 128GB. Untuk pilihan konfigurasi storan 256GB dan 512GB pula anda boleh mendapatkannya pada harga masing-masing RM4,399 dan RM4,899. Kesemua pilihan konfigurasi ini ditawarkan dengan kapasiti RAM sebanyak 8GB.
- Samsung Galaxy Z Flip 4 128GB – RM4,099
- Samsung Galaxy Z Flip 4 256GB – RM4,399
- Samsung Galaxy Z Flip 4 512GB – RM4,899
- Galaxy Z Flip4 Bespoke Edition 256GB – RM4,599
Anda yang membuat pra-tempahan Samsung Galaxy Z Flip 4 ini dari sekarang sehingga 1 September ini turut berpeluang menerima pelbagai cenderahati percuma yang disediakan termasuk waranti lanjutan Samsung Care+ bernilai RM499.
Produk | Model | RRP | Warna yang ditawarkan | Cenderahati percuma |
Galaxy Z Flip4 | Galaxy Z Flip4 (128GB) | RM4,099 | ·Bora Purple
·Blue ·Pink Gold ·Graphite ·Bespoke Edition |
· Samsung Care+ One year extended warranty (worth RM499) and 3 Protective Film Replacements
· 1 free Samsung Online e-voucher worth RM450 · 1 free Flap Leather Cover (worth RM379) |
Galaxy Z Flip4 (256GB) | RM4,399 | |||
Galaxy Z Flip4 (512GB) | RM4,899 | |||
Galaxy Z Flip4 Bespoke Edition (256GB) | RM4,599 |