Western Digital menyatakan pihaknya mengalami kerugian sekurang-kurangnya 6.5 eksabait (6.5 billion gigabait) storan flash gara-gara masalah pencemaran di fasiliti pengeluaran NAND miliknya.
Kesan dari pencemaran ini dijangka akan menyaksikan kenaikan harga komponen utama SSD, NAND sehingga 10 peratus menurut TrendForce. Sebarang kemungkinan kekurangan NAND atau kenaikan harganya mampu memberikan kesan terhadap pasaran PC untuk tempoh beberapa bulan akan datang.
Pencemaran bahan mentah yang digunakan untuk proses pembuatan tersebut didapati telah dikesan pada penghujung Januari di dua buah kilangnya di Jepun. Rakan kongsi Western Digital, Kioxia (dahulu dikenali sebagai Toshiba) memaklumkan insiden tersebut memberikan kesan terhadap memori flash NAND BiCS 3D.
Usahasama anda Western Digital dan Kioxia membawa sebanyak 30% dari pasaran flash NAND global, menurut TrendForce. Kedua-dua syarikat ini merupakan pengeluar utama dunia pemacu storan SSD dan eMMC untuk PC.
Punca bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku setakat ini masih lagi belum dikenalpasti. Tidak diketahui sama ada kejadian ini memberi kesan terhadap produk-produk yang telah berada di pasaran dan perlu di panggil semula oleh pihak pengeluar.
Malah, tarikh bilakah proses pengeluaran dapat dijalankan semula juga masih belum diketahui. Setakat ini Western Digital menyatakan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Kioxia untuk memulihkan semula pengeluaran secepat mungkin.