OPPO telah mengumumkan pelarasan harga rasmi bagi dua telefon pintar peringkat pemula keluarannya. OPPO A38 dan OPPO A18 yang dilancarkan di Malaysia pada hujung tahun lalu kini menerima pengurangan harga RM50 dari harga asal jualannya.
Selain harganya diturunkan, OPPO A38 juga menerima konfigurasi baharu. Berbanding ketika pelancarannya dahulu, telefon pintar ini dijual pada harga RM599 dengan RAM 4GB dan storan 128GB. Kini, melalui pengumuman tersebut varian baharunya dijual dengan RAM 6GB pada harga RM549. Manakala untuk A18 yang ditawarkan pada harga RM499 kini dijual pada harga RM459.
Dari segi spesifikasi, OPPO A38 mempunyai paparan LCD 6.56-inci 720p dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan tahap kecerahan puncak 720 nits, bersama-sama penarafan kerintangan air dan debu IP54. Ia dijana oleh pemprosesan MediaTek Helio G85 dan dikuasakan oleh bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 33W. Untuk fotografinya, ia menampilkan kamera utama 50MP dan satu sensor berkedalaman.
Dalam pada masa yang sama, OPPO A18 menampilkan skrin LCD 6.56-inci 720p yang sama dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan penarafan IP54. Ia juga menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G85 dengan bateri 5,000mAh. Tiada maklumat mengenai kadar pengecasannya dijelaskan. Namun, untuk fotografinya ia menampilkan kamera utama 8MP dengan sensor berkedalaman.