Pelbagai aktiviti dan tugasan produktiviti yang boleh anda lakukan melalui telefon pintar dan adakalanya ia lebih sesuai dilakukan pada tablet memandangkan saiz skrinnya yang lebih besar. Cuma pada kebiasaannya, harga yang ditawarkannya adalah lebih tinggi dari telefon pintar.
Sungguhpun siri Galaxy Tab S9 masih lagi menjadi antara pilihan utama tablet Android di pasaran buat masa ini, Samsung memberikan lebih pilihan dengan menawarkan Galaxy Tab S6 Lite keluaran 2024 dengan harga yang lebih mampu milik ke pasaran Malaysia. Tablet yang menyediakan pena stylus S Pen ini juga membawakan naik taraf perkakasan dengan harga jualannya RM1,499.
Samsung Galaxy Tab S6 Lite mempunyai paparan LCD TFT 10.4-inci beresolusi 2,000 x 1,200 piksel dan kadar penyegaran semula 60Hz. Apa yang menjadikan ia lebih menarik untuk tablet pada harga ini adalah penawaran S Pen bersama-sama dengannya.
Sama seperti Galaxy S24 Ultra, tablet ini juga boleh mengambil nota walaupun semasa skrinnya dimatikan. Ia seterusnya membolehkan anda mengambil nota tanpa mengira masa dan tempat bagi memenuhi keperluan kreativiti anda.
Galaxy Tab S6 Lite juga menyokong DeX Mode yang menawarkan mod desktop mirip desktop komputer Windows klasik bagi memudahkan fungsi berbilang tugasan dilakukan. Anda juga boleh mengaktifkan mod DeX secara nirwayar dengan paparan yang menyokongnya jika ingin memaparkan pada skrin yang lebih besar.
Tablet ini dilengkapkan dengan pemprosesan Exynos 1280 bersama-sama RAM 4GB dan storan 128GB yang boleh diperluaskan melalui slot kad mikroSD. Untuk panggilan video, tablet ini menyediakan kamera hadapan 5MP serta satu kamera 8MP pada bahagian belakangnya yang turut menyokong rakaman video beresolusi 1080 piksel pada kadar 30fps.
Untuk ketersambungan, Galaxy Tab S6 Lite (2024) menyokong Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.3. Melalui bateri berkapasiti 7,040mAh, tablet ini juga mampu bertahan selama 14 jam bagi penggunaan main semula video.
Harga Samsung Galaxy Tab S6 Lite (2024) di Malaysia
Di Malaysia, Samsung Galaxy Tab S6 Lite (2024) dijual pada harga RM1,499 bersama-sama pena stylus S Pen. Anda boleh mendapatkannya dengan pilihan warna Mint atau Gray menerusi Samsung Experience Store, wakil pengedar yang sah dan secara dalam talian di Samsung Malaysia.