Satu kajian terbaharu mendedahkan bahawa permintaan tenaga global untuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dijangka mencecah 23 Gigawatt (GW) pada tahun ini. Ia mengatasi jumlah tenaga yang digunakan oleh aktiviti perlombongan Bitcoin sepanjang tahun 2024.

Laporan tersebut turut menganggarkan industri AI bakal menggunakan antara 312.5 hingga 764.6 bilion liter air. Satu jumlah yang setara dengan penggunaan air botol oleh penduduk seluruh dunia dalam tempoh setahun.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Alex de Vries-Gao dari Institut Kajian Alam Sekitar VU Amsterdam mendapati impak persekitaran teknologi AI semakin membimbangkan.

Angka-angka ini diperoleh melalui analisis data penggunaan perkakasan syarikat teknologi utama dan laporan kewangan. Hal ini kerana syarikat-syarikat teknologi besar (Big Tech) sering tidak mendedahkan secara terperinci penggunaan sumber mereka. Khususnya untuk operasi AI dalam laporan kelestarian tahunan.

Menurut Alex de Vries-Gao, walaupun angka ini adalah anggaran konservatif, skalanya tetap besar dan memberi kesan kepada semua pihak.

“Tiada cara untuk meletakkan nombor yang sangat tepat untuk ini, tetapi ia akan menjadi sangat besar walau apa pun. Pada akhirnya, semua orang akan menanggung harganya,” jelas beliau.

Tenaga yang diperlukan AI mencemarkan Alam Sekitar

Selain penggunaan tenaga dan air, kajian ini turut menganggarkan sistem AI menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida antara 32.6 hingga 79.7 juta tan setahun.

Secara purata, jumlah ini adalah sekitar 56 juta tan, melebihi pelepasan gas rumah hijau negara Singapura pada tahun 2022 yang mencatatkan 53 juta tan.

Berikut adalah ringkasan impak utama yang digariskan dalam kajian tersebut:

  • Tenaga: Permintaan kuasa mencecah 23GW, mengatasi penggunaan perlombongan Bitcoin 2024.
  • Air: Penggunaan air mencecah sehingga 764.6 bilion liter setahun.
  • Pelepasan Karbon: Purata 56 juta tan CO2 setahun.
  • Rantaian Bekalan: Profesor Shaolei Ren dari Universiti California, Riverside memberi amaran bahawa angka sebenar mungkin lebih tinggi jika mengambil kira keseluruhan rantaian bekalan, termasuk perlombongan bahan mentah, fabrikasi cip, dan pelupusan sisa elektronik.

Isu penggunaan sumber yang intensif ini telah menarik perhatian pembuat dasar di Amerika Syarikat. Senator Elizabeth Warren dan beberapa wakil Demokrat telah mendesak syarikat teknologi utama untuk menjelaskan penggunaan tenaga mereka.

Dalam pada masa yang sama, Senator Bernie Sanders mencadangkan moratorium ke atas pembinaan pusat data AI baharu.

Walaubagaimanapun, pentadbiran Presiden Donald Trump terus menyokong pembangunan pesat AI melalui inisiatif “Genesis Mission” bagi memastikan dominasi teknologi AS kekal terjamin.

Penutup
Laporan ini memberi isyarat jelas bahawa di sebalik kemajuan pesat teknologi AI, kos persekitaran yang perlu dibayar adalah tinggi. Keseimbangan antara inovasi teknologi dan kelestarian alam sekitar kini menjadi cabaran kritikal yang perlu ditangani oleh pemain industri dan kerajaan di peringkat global.

Tinggalkan komentar