China telah memperketatkan eksport bahan logam nadir bumi dan magnet yang amat penting untuk industri seperti kenderaan, aeroangkasa dan ketenteraan. Hampir 90% pasaran magnet nadir bumi global dihasilkan di China.
Eksport bahan tersebut tidak dikenakan larangan sepenuhnya, sebaliknya China hanya mengenakan sekatan baharu terhadap eksport nadir bumi dan logam dari negaranya bermula 4 April lalu. Lesen khas diperlukan untuk pengeluaran logam dan magnet pasaran antarabangsa sebagai tindakbalas terhadap tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Memburukkan lagi keadaan, kerajaan China turut dilaporkan menangguhkan penubuhan sistem bagi mengeluarkan lesen tersebut, meningkatkan lagi kebimbangan di dalam industri. Selain itu, China juga sedang merangka sistem kawal selia baharu yang boleh menghentikan bekalan ke syarikat-syarikat tertentu.
Menurut sumber dari The New York Times, terdapat syarikat yang berpangkalan di AS telah dimaklumkan ia mengambil masa sehingga 45 hari sebelum eksport boleh dimulakan.
Bagaimanapun sekatan ini didakwa tidak dilaksanakan secara seragam di pelabuhan-pelabuhan di China. Sesetengah pegawai kastam membenarkan penghantaran yang mengandungi sedikit bahan logam nadir bumi asalkan ia tidak dihantar ke pasaran AS. Manakala sebahagian lagi hanya membenarkan eksport selepas semakan menyeluruh dilakukan terhadap bahan-bahan tersebut.
Pengusaan pengeluaran nadir bumi oleh China disumbangkan oleh penemuan deposit bahan tersebut berhampiran Longnan di Wilayah Jiangxi. Jepun dan Jerman juga mempunyai pengeluarannya sendiri untuk bahan tersebut, namun masih lagi bergantung dengan bahan mentah dari China.