HONOR semalam telah mengacah siri “iPhone Killer” mampu milik baharu dan kini telah disahkan HONOR 400 Lite akan menjadi model pertama dari tiga model di dalam barisan tersebut. Hantaran melalui laman media sosial rasmi HONOR ada menyatakan 400 Lite akan menjadi yang pertama di dalam siri ini. Atas sebab ituu, tidak mustahil model-model lain di dalam siri ini akan menyusul kelak.
Buat masa ini HONOR tidak mendedahkan tarikh pelancaran dan harga untuk 400 Lite di pasaran Malaysia. Bagaimanapun, menjelang pelancarannya, beberapa peniaga tempatan telah pun menyenaraikan telefon pintar tersebut pada harga RM1,299.
Ini bermakna, harganya akan sama dengan HONOR 200 Lite pada tahun lepas. Ia hanya dibezakan pada RAM yang lebih dan storan yang lebih kecil iaitu 12GB + 256GB. Pun begitu, tidak mustahil HONOR akan memperkenalkan lebih banyak konfigurasi ketika pelancarannya.
HONOR 400 Lite menampilkan paparan AMOLED 6.7-inci 1080p dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak HDR 3,500 nits. Di dalamnya, telefon pintar peringkat menengah ini menggunakan MediaTek Dimensity 7025 Ultra yang menyokong ketersambungan 5G, Wi-Fi 5, Bluetooth 5.3 dan NFC. Ia juga hadir dengan perlindungan IP65 untuk debu dan air.
Dari segi fotografi, telefon pintar ini mempunyai kamera utama 108MP, kamera ultra-lebar 5MP, dan kamera hadapan 16MP. Terdapat sebuah bateri berkapasiti 5,230mAh yang turut menyokong pengecasan 35W. Sama seperti ciri Apple Camera Control, HONOR 400 Lite juga menampilkan butang pengatup kamera khusus pada sisinya yang didatangkan bersama-sama ciri-ciri pintar.