Pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia berjalan dengan baik sungguhpun berdepan dengan pelbagai kekangan. Keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengadopsi dwi-model rangkaian 5G telah mendapat sokongan dari pelbagai syarikat telekomunikasi Malaysia, termasuk Maxis.
Walaupun belum menandatangani perjanjian 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga kini, CEO Maxis Goh Seow Eng telah menekankan komitmen syarikatnya untuk melakukannya.
Menurut laporan dari Bernama, Goh telah menyatakan perkara tersebut di dalam sesi perbincangan bertajuk “Rethinking the 5G model – Building Tomorrow’s Infrastructure di Persidangan Invest Malaysia Siri 2 semalam. Bagaimanapun, CEO Maxis berkenaan tidak menyatakan bilakah perjanjian tersebut dapat dimeterai.
Sebaliknya beliau menekankan soal liputan rangkaian 5G yang perlu melibatkan kerjasama di peringkat seluruh pemegang taruh demi kebaikan bersama.
Di dalam persidangan yang sama, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil turut menyatakan Maxis akan menandatangani perjanjian tersebut tidak lama lagi.