Celcom Digi Gabung

Axiata dan Telenor Asia secara rasminya telah mendedahkan rancangan penggabungan operasi telekomunikasinya, Celcom dan Digi ke dalam sebuah entiti.

Pengumuman bersama-sama ini telah mengesahkan spekulasi yang tercetus berikutan penggantungan sementara dagangannya di Bursa Malaysia pagi tadi.

Entiti baharu ini akan dikenali sebagai Celcom Digi Berhad dengan pengangan saham masing-masing untuk Telenor dan Axiata sebanyak 33.1%. Baki sebahagiannya dipegang oleh institusi dana tempatan seperti KWSP, PNB, KWAP dan juga orang awam.

Penggabungan ini akan menjadikan Celcom Digi Berhad sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom buat masa ini, Encik Idham Nawawi telah dicalonkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk syarikat gabungan baharu ini. Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Digi pada ketika ini, Encik Albern Murty pula dicalon sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.

[Kemaskini] Pihak Axiata dan Telenor memberi jaminan tiada rancangan pengurangan kakitangan atau pemberhentian staf di Celcom dan Digi. Bagi mana-mana kakitangan yang mempunyai pertindihan jawatan pula akan ditawarkan perjawatan baharu atau diberi peluang latihan dan peningkatan kerjaya yang berkaitan dengan Pusat Inovasi baharu yang diumumkan hari ini.

Bagaimanapun, Celcom Digi Berhad tidak menolak kemungkinan menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) kepada kakitangan kedua-dua syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Dato’ Izzaddin Idris berkata pengumuman yang dibuat pada hari ini tidak melibatkan perjanjian mengikat dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum penggabungan ini dimuktamadkan. Selain itu, penggabungan ini juga perlu mendapat persetujuan dari pengelola dan pemegang taruh kedua-dua belah pihak.

Perjanjian ini dijangka akan sedia untuk dimuktamadkan sekitar suku kedua tahun 2021. Kedua-dua belah pihak juga yakin usaha penggabungan ini akan berjaya dilaksanakan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.