Hubungan Brazil dan Apple sejak kebelakangan ini kelihatan agak tegang apabila pihak berkuasa negara terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan tidak memberikan pengecas bersama-sama pembelian iPhone.
Selepas dikenakan denda berjumlah hampir RM89 juta baru-baru ini, Apple masih lagi gagal untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Brazil. Terkini, pihak berkuasa tempatan di Brazil telah bertindak merampas sejumlah iPhone di pasaran negara tersebut atas kegagalan tersebut.
Menurut laporan oleh 9to5Mac, pihak berkuasa Brazil telah merampas ratusan iPhone di beberapa buah kedai di seluruh negara melalui satu serbuan yang dinamakan sebagai “Operasi Discharge”. Rampasan tersebut turut membabitkan kedai-kedai fizikal rasmi dan wakil pengedar yang sah Apple.
Operasi ini dilakukan bagi memastikan Apple mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan Brazil yang mewajibkan kesemua pengeluar telefon memberikan bersama-sama pengecas masing-masing.
Rentetan dari rampasan tersebut, pihak Apple Brazil dengan mengemukakan rayuan memberikan keizinan menjual iPhone di negara tersebut sehingga keputusan dari Kementerian Keadilan Brazil dimuktamadkan.