Avast sekali lagi menjadi tumpuan apabila dituduh menjual maklumat-maklumat peribadi penggunanya kepada syarikat pemasaran.
Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh PCMag dan Motherboard, terdapat satu bahagian di dalam Avast yang mengumpulkan data sejarah setiap klik pelayar dan tabiat pembelian penggunanya. Data-data ini diperoleh melalui aplikasi antivirus percuma yang telah dipasang oleh pengguna berkenaan.
Bahagian yang melaksanakan aktiviti tersebut dikenali sebagai Jumpshot. Subsidiari berkenaan didakwa bertanggungjawab menguruskan trafik yang keluar dan masuk untuk lebih dari 100 juta peranti termasuk PC dan peranti mudah alih.
Bagi pengguna-pengguna biasa, hal sebegini mungkin dilihat tidak begitu memberi kesan yang mendalam. Namun, bagi pengguna yang peka dan prihatin terhadap isu privasi data peribadi, perkara ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
Pengumpulan dan penjualan data peribadi pengguna kepada pihak ketiga agak kerap dilaporkan. Sebelum ini pada tahun 2018, Facebook telah didapati memberi akses data penggunanya kepada jenama-jenama utama seperti Microsoft, Amazon dan Netflix.
Sumber berita diperoleh dari Hot Hardware