Terdapat kos-kos yang tersembunyi di sebalik muat turun permainan komputer cetak rompak seperti Grand Theft Auto V, Pro Evolution Soccer 2018 atau lain-lain permainan yang popular.
Penjenayah siber dilaporkan menggunakan judul-judul permainan cetak rompak untuk menyebarkan malware yang melombong kripto secara sembunyi-sembunyi menggunakan sistem yang telah dijangkitinya.
BBC News melaporkan malware berkenaan dikenali sebagai Crackonosh dan syarikat keselematan siber, Avast menyatakan kini terdapat puluhan ribu peranti telah dijangkitinya. Buat masa ini jangkitan malware berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan. Berdasarkan data dari Avast, sekitar 800 kes jangkitan baharu dikesan setiap hari melibatkan malware berkenaan.
Crackonosh didapati merebak secara meluas di Filipina, Brazil, India, Poland dan Amerika Syarikat dan melibatkan seramai 10,000 pengguna. Bagaimanapun, angka jangkitan dijangka lebih tinggi memandangkan jumlah ini hanya melibatkan pengguna yang memasang perisian antivirus Avast.
Kegiatan dikatakan telah memberikan keuntungan besar buat pengendali-pengendali Crackonosh hingga mampu meraih lebih dari $2 juta dalam bentuk Monero. Untuk makluman, Monero merupakan kriptowang yang kian popular di kalangan penjenayah kerana ianya lebih sukar dijejak berbanding Bitcoin dan kripto-kripto lain masa kini.
Pengguna yang memuat turun permainan komputer cetak rompak yang mengandungi Crackonosh lebih berisiko untuk mengalami kerosakan perkakasan dalam tempoh yang singkat. Hal ini disebabkan aktiviti perlombongan kripto akan memaksa perkakasan berkerja lebih keras dan akan memberikan kesan terhadap prestasi keseluruhannya.
Avast turut menyatakan Crackonosh mampu melumpuhkan Windows Defender, Windows Update dan lain-lain alatan keselamatan untuk mengelak dari dikesan. Langkah membuang malware melibatkan proses yang panjang merangkumi memadam tugasan berjadual, fail, dan kekunci daftar.