Telefon pintar boleh-lipat keluaran terbaru Samsung yang bakal dikenali sebagai Galaxy Z Flip dilaporkan akan mula dijual pada 14 Februari ini.

Max Weinbach dari portal XDA Developers melaporkan telefon pintar berkenaan dijangka bakal hadir sekitar pertengahan bulan hadapan pada harga sekitar $1,400 (bersamaan lebih kurang RM5,749).

Acara Unpacked oleh Samsung telah dijadualkan berlangsung pada 11 Februari ini dan berkemungkinan besar Samsung Galaxy S20 akan dilancarkan pada tarikh berkenaan bersama-sama telefon pintar boleh-lipat Samsung keluaran terbaru tersebut.

Jika berita ini benar-benar sahih, Galaxy Z Flip akan ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding harga Galaxy Fold. Sebelum ini Galaxy Fold dikatakan akan dijual pada harga $1,980 (lebih kurang RM8,085) Oktober lalu, namun telah ditangguhkan atas beberapa sebab.

Untuk Galaxy Z Flip, ia dikatakan bakal hadir dengan rekaan cengkerang, bersama-sama paparan 7.2 inci apabila dibuka secara menegak.

Acara Unpacked yang bakal berlangsung nanti dijangka bakal dianjurkan secara besar-besaran dengan beberapa model Samsung Galaxy S20 bakal diperkenalkan.

Sumber maklumat diperoleh dari Max Weinbach

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.