Rangkaian 5G merupakan teknologi sambungan internet mudah alih generasi berikutnya yang menawarkan kelajuan yang lebih pantas dan sambungan lebih stabil pada peranti-peranti mudah alih.
Menggabungkan teknologi rangkaian termaju dengan peranti berspesifikasi tinggi terkini, 5G menjanjikan sambungan yang jauh lebih pantas berbanding dengan apa yang ditawarkan pada ketika ini. Dijangkakan kelajuan memuat turun purata pada 1Gbps akan menjadi satu kelaziman.
Rangkaian ini juga bakal melonjakkan teknologi Internet of Things melalui penyediaan infrastruktur yang mampu membawa data-data berkapasiti besar yang amat diperlukan di dalam dunia yang saling berhubung.
Rangkaian 5G pada ketika ini sudah pun mula muncul disebahagian tempat dan dijangka dilancarkan di seluruh dunia pada tahun 2020. Bersama-sama rangkaian 3G dan 4G sedia ada, dunia dalam masa terdekat ini adalah ‘dunia tanpa sempadan’.
Bilakah rangkaian 5G akan dilancarkan di Malaysia?
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada asalnya menjangkakan teknologi komunikasi generasi kelima (5G) berpotensi sedia digunakan secara komersial di negara ini menjelang 2021 atau 2022.
Bagaimanapun, pelaksanaan ini bergantung kepada kesediaan menara pemancar 4G untuk dipertingkat kepada 5G, yang mana secara purata hanya kira-kira 40 peratus menara telekomunikasi di Malaysia memiliki sambungan sambungan gentian optik.
Pada Oktober 2019, Maxis Bhd dan Huawei Technologies Malaysia telah memeterai perjanjian untuk menyediakan rangkaian perkhidmatan 5G di Malaysia. Perjanjian berkenaan membolehkan Maxis mempunyai akses kepada pandangan, standard, produk dan penyelesaian yang akan menjadikan 5G mudah diguna pakai, dikendalikan dan memperkenalkan kes penggunaan baharu di Malaysia.
Huawei pula akan membekalkan peralatan radio dan perkhidmatan 4G/LTE dan 5G. Selain memiliki akses kepada teknologi 5G, Maxis juga akan dapat memodenkan rangkaian LTE sedia adanya sebagai persediaan melaksanakan 5G.
Malaysia bagaimanapun perlu mengambil langkah secara beransur-ansur dan berhati-hati dalam melaksanakan 5G. Kita juga perlu mendapatkan lebih banyak ruang dan masa untuk bereksperimen dengan mempelajari dari negara lain yang sudah berada dalam peringkat maju pelaksaan 5G.
Pada 15 Disember 2019, sebanyak enam syarikat telekomunikasi yang menjalankan projek demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi, mula menunjukkan hasil yang sangat baik dengan 37 kes penggunaan dalam bidang pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan, bandar pintar, pengangkutan pintar dan sektor pelancongan.
Pihak kerajaan juga turut memperkenalkan Pelan Lima Tahun, Pelan Penyambungan Fiber Nasional (NFCP) pada 19 September 2019 yang bermatlamat merapatkan jurang digital luar bandar.
Pelan ini dilancarkan kerana penyedia perkhidmatan sedia ada secara umumnya enggan melabur dalam infrastruktur telekomunikasi di kawasan luar bandar. Antara faktornya adalah kerana kos yang tinggi disebabkan cabaran seperti kawasan yang tidak teratur dan penempatan yang berselerak.
Digital Nasional Berhad (DNB) masuk ‘ke gelanggang’
Walaubagaimanapun, perubahan pentadbiran kerajaan persekutuan pada Mac 2020 telah menyaksikan terdapat perubahan dari segi pelaksanaan rangkaian komunikasi generasi berikutnya. Sebuah entiti baharu, Digital Nasional Berhad (DNB) telah diwujudkan bagi tujuan pelaksanaan rangkaian 5G kebangsaan melalui kerjasama dengan Ericsson.
Pelbagai isu dan pertanyaan orang ramai mengenai pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia pada ketika itu telah dikupas dengan baik oleh Pendakwah Teknologi menerusi saluran YouTube rasminya.
Di Malaysia, pelaksanaan dilakukan menggunakan model Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network, SWN) dengan syarikat telekomunikasi YTL Communications melalui Yes menjadi yang pertama menawarkannya kepada pengguna umum.
Apakah model telefon pintar yang menyokong 5G di pasaran Malaysia?
Antara telefon pintar yang dilapor menawarkan sokongan rangkaian 5G termasuklah Samsung Galaxy S22 5G, OPPO Find X5 Pro 5G, Xiaomi Mi Mix 3 5G dan Huawei Mate 20X 5G.
Vivo, pada tahun 2019 telah menjadi pengeluar telefon pintar pertama yang memperkenalkan telefon 5G di pasaran Malaysia melalui Vivo Nex 5G.