Xiaomi Malaysia telah mengumumkan pengurangan harga bagi Redmi A3, telefon pintar peringkat pemula yang diumumkannya ke Malaysia pada Mac yang lalu. Penurunan harga telefon pintar ini menjadikannya kini hanya RM349, kurang RM80 berbanding ketika ia pertama kali diperkenalkan.
Redmi A3 menawarkan paparan LCD 6.71-inci dengan resolusi 720 x 1650 piksel, kadar penyegaran semula 90Hz, kecerahan puncak 500 nits dan perlindungan Corning Gorilla Glass 3.
Ia juga menampilkan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya, pembesar suara, bicu audio 3.5mm, Android 14 serta ketersambungan 4G, Wi-Fi 5, dan Bluetooth 5.4.
Di dalamnya pula ia menggunakan kuasa pemprosesan MediaTek Helio G36 yang bergandingan dengan RAM 4GB dan storan 128GB bersama-sama slot kad mikroSD. Sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh turut disediakan bersama-sama sokongan pengecasan 10W melalui port USB-C.
Untuk pengimejannya, Redmi A3 menampilkan tetapan dwi-kamera yang mengandungi kamera utama 8MP dan lensa sokongan 0.08MP yang ditempatkan di dalam ruangan berbentuk bulatan besar pada bahagian belakangnya. Di sebelah hadapan, terdapat sebuah kamera 5MP yang boleh digunakan bagi tujuan swafoto dan panggilan video.
Redmi A3 hadir dengan tiga warna iaitu Midnight Black, Forest Green dan Star Blue, dengan kemasan kaca atau faux-kulit, bergantung pada jenis pilihan warna berkenaan. Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan telefon pintar ini pada harga yang lebih murah, kunjungi laman web rasmi Xiaomi Malaysia dan juga di kedai rasminya di Shopee dan Lazada.