Microsoft menjenamakan semula alatan AI Copilot keluarannya dengan mengubah dari “Microsoft Copilot” kepada “Microsoft 365 Copilot.” Perubahan ini mensasarkan untuk mempromosikan perkhidmatan AI berbayar yang ditawarkan di bawah Microsoft 365.
Perubahan nama ini juga turut melibatkan versi berbayar perkhidmatan tersebut yang kini dinamakan sebagai Microsoft 365 Copilot menggantikan nama lamanya, “Microsoft Copilot for Microsoft 365.” Lain-lain perkhidmatan spesifik Copilot seperti Sales, Service dan Finance akan menggunakan nama masing-masing seperti “Microsoft 365 Copilot for Sales” dan seterusnya.
Selain itu, Microsoft juga memperkenalkan jenama baharu untuk modul borak baharu di dalam Microsoft 365 Copilot yang dikenali sebagai “Business Chat.”
Semua ini dilihat cara biasa yang digunakan oleh Microsoft dalam menamakan produk-produknya dan seperti biasa menimbulkan kekeliruan di kalangan pasukannya sendiri. Pun begitu, ia tidak mengakibatkan isu dalaman yang lebih besar dan berdasarkan perkembangan ini, pasukan Microsoft 365 dilihat cenderung mengambil tanggungjawab jenama Copilot.
Penjenamaan semula ini banyak memberikan kesan terhadap produk-produk AI Microsoft tanpa melibatkan alatan Copilot kegunaan pengguna yang diuruskan oleh CEO Microsoft AI Mustafa Suleyman. Perubahan ke arah penjenamaan Microsoft 365 ini secara asasnya ditumpukan pada menyelaraskan alatan AI dengan suite Office dengan hala tuju Copilot di luar daripada suite berkenaan masih belum jelas.