Dua puluh tahun dahulu, para jurutera Microsoft dan Bill Gates telah mengubah dunia. Tanggal 24 Ogos 1995, Microsoft melancarkan Windows 95 untuk pasaran umum dan telah memulakan revolusi penggunaan komputer desktop dunia untuk dekad-dekad seterusnya. Tidak dinafikan, Windows 95 adalah sistem operasi bertanggungjawab menentukan arah tuju sistem operasi Windows untuk versi-versi yang terkemudian.
Kemunculan Windows 95 melonjakkan jualan komputer peribadi desktop. Pada ketika itu, Bill Gates mensasarkan komputer peribadi sebagai salah satu barangan keperluan di rumah, sama seperti mana orang ramai membeli barangan elektrik seperti televisyen, radio, mesin basuh dan sebagainya. Melalui pendekatan mesra pengguna dan disokong oleh antaramuka grafik yang menarik, Windows 95 telah menarik minat orang ramai untuk memiliki komputer peribadi.
Fungsi butang menu Start julung kalinya diperkenalkan di dalam Windows 95 dan seterusnya menjadi sangat popular dan sinonim dengan sistem operasi Windows. Ironinya, kehilangan menu Start ini di dalam Windows 8 telah menjadi punca kegagalan sistem operasi ini meraih jualan. Belajar dari kesilapan tersebut, Microsoft akhirnya mengembalikan butang menu yang popular ini ke dalam Windows 10. Menu Start diibaratkan ‘jantung’ kepada sistem operasi Windows versi-versi seterusnya yang memandu para penggunanya kecuali Windows 8.
Di dalam laman webnya, Microsoft ada menulis beberapa perkara tentang Windows 95;
This is the era of fax/modems, email, the new online world, and dazzling multimedia games and educational software. Windows 95 has built-in Internet support, dial-up networking, and new Plug and Play capabilities that make it easy to install hardware and software. The 32-bit operating system also offers enhanced multimedia capabilities, more powerful features for mobile computing, and integrated networking.
Selain dari ciri-ciri yang sistem operasi yang mesra pengguna dan grafik yang lebih menarik berbanding versi-versi Windows yang terdahulu, salah satu faktor mengapa Windows 95 menjadi satu fenomena adalah disebabkan cara pemasarannya yang sangat berkesan.
Microsoft sanggup berbelanja besar dalam memasarkan sistem operasi mereka ini dengan mendapatkan khidmat kumpulan rock terkenal, Rimba Bara Rolling Stone untuk memberikan hak memainkan judul lagu ”Start Me Up” sebagai lagu tema iklan Windows 95 di televisyen.
Keperluan minima perkakasan untuk membolehkan sistem operasi Windows 95 dijalankan adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan tahap teknologi sekarang. Pemprosesan yang disyorkan sesuai untuk Windows 95 adalah pemproses Intel 486 dan RAM sekurang-kurangnya 4 MB.
Turut hadir bersama Windows 95, Internet Explorer diperkenalkan sebagai pelayar dan seterusnya ia menjadi pelayar pertama digunakan oleh kebanyakan pengguna Windows.
Kini, harga komputer peribadi dijual pada harga mampu milik dan bukannya milik eksklusif organisasi, perniagaan atau golongan elit. Terima kasih buat kakitangan-kakitangan Microsoft dan Bill Gates kerana mempopularkan sistem operasi komputer dan merevolusikan penggunaan komputer peribadi di seluruh dunia.