Utama Mobile Aplikasi WhatsApp akan saman Firma Israel yang hasilkan Perisian Hasad intip Pengguna

WhatsApp akan saman Firma Israel yang hasilkan Perisian Hasad intip Pengguna

674
0

WhatsApp dilaporkan akan menyaman firma yang menghasilkan perisian pengintipan, NSO Group. Firma berkenaan didapati secara aktif menggodam pengguna perkhidmatan permesejan tersebut.

Mei lalu, satu kerentanan perisian besar telah diketemukan pada WhatsApp. Melalui kerentanan berkenaan, penggodam boleh menyuntik perisian pengintipan melalui panggilan video walaupun pengguna tidak menjawab panggilan tersebut.

Organisasi yang menemukan kerentanan berkenaan, Citizen Lab menyatakan serangan ini telah digunakan terhadap kumpulan-kumpulan wartawan dan pendukung hak asasi manusia. Perisian pengintipan yang digunakan dikenali sebagai Pegasus, dibangunkan oleh NSO Group yang berpangkalan di Israel dan digunakan oleh sesetengah kerajaan di seluruh dunia.

Selepas laporan mengenai kerentanan ini muncul, pihak NSO Group menafikan penglibatannya terhadap aktiviti ini dan menyatakan pencerobohan yang dilakukan adalah berdasarkan arahan oleh kerajaan-kerajaan negara yang terlibat. Walaubagaimanapun, laporan dari Washington Post menyatakan sebaliknya.

Pengerusi WhatsApp, Will Cathcart mengatakan pihaknya mempunyai bukti kukuh NSO Group bertindak secara langsung terhadap pencerobohan ini. WhatsApp akan mengambil tindakan terhadap pencerobohan ini berdasarkan Undang-Undang Negeri dan Persekutuan A.S termasuk Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer A.S.

Menurut Will Cathcart, sungguhpun serangan yang dilakukan adalah sofistikated, pihak NSO Group bagaimanapun gagal untuk menutup jejak mereka. Pencerobohan yang dilakukan berdasarkan kerentanan ini dilapor telah melibatkan sejumlah 1,400 peranti.

WhatsApp turut membuat permohonan sekatan dari mahkamah untuk mencegah NSO Group dari melakukan tindakan yang sama di masa akan datang. Tambah Will Cathcart lagi, keutamaan pihaknya adalah melindungi privasi dan keselematan para penggunanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Citizen Lab turut menyatakan kesediaannya untuk terus memberikan kerjasama kepada WhatsApp dalam menangani isu ini.

Sumber berita diperoleh dari Washington Post

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.