Apabila anda bertukar ke telefon baharu, WhatsApp biasanya akan mengesahkan akaun anda dengan menghantar enam digit OTP melalui SMS. Kini, platform permesejan popular ini sedang mengusahakan kaedah baharu iaitu melalui panggilan segera.

Menurut WABetaInfo, WhatsApp akan meminta kebenaran aplikasinya membuat panggilan telefon dan akan segera menamatkan panggilan sebaik sahaja nombor telefon pengguna dapat disahkan. Nombor panggilan yang digunakan akan berubah setiap kali panggilan dibuat bagi menyukarkan scammer menyalahgunakannya.

Fungsi ini sedang diuji di dalam versi beta kemaskini Android 2.21.11.7, dan apabila ianya diterbitkan kepada pengguna umum, satu halaman pengenalan bagi fungsi ini akan dipaparkan selepas WhatsApp dikemaskini.

Halaman pengenalan tersebut akan menerangkan mengapa WhatsApp memerlukan keizinan membuat dan menguruskan panggilan, serta menguruskan log panggilan telefon pengguna.

Jika pengguna tidak bersetuju untuk memberikan akses panggilan telefon kepada WhatsApp, anda masih lagi boleh memilih untuk membuat pengesahan OTP melalui SMS.

WABetaInfo juga menyatakan fungsi ini hanya ditawarkan secara eksklusif untuk Android dan tidak akan diperkenalkan pada iOS. Hal ini kerana Apple tidak menyediakan sebarang API umum untuk membaca log panggilan.

Setakat ini WhatsApp tidak menyatakan bilakah fungsi ini akan mula diterbitkan kepada pengguna umumnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.