Apabila iOS 15 tiba sekitar penghujung tahun ini kelak, ianya akan membawakan perubahan besar pada FaceTime. Perubahan tersebut telah dipertontonkan oleh Craig Federighi dari Apple menerusi acara WWDC 2021.

Salah satu perubahan terbesar yang diperkenalkan adalah keupayaan FaceTime digunakan pada Android dan juga PC Windows 10. Fungsi ini dapat dilakukan menerusi pautan perkongsian baharu Apple yang membolehkan anda berkongsi dengan kenalan dan keluarga.

Anda juga boleh menjadualkan panggilan dengan kenalan anda melalui fungsi ini dengan menghantarkan pautan jemputan lebih awal.

Selain itu, FaceTime juga akan memperkenalkan antaramuka grid baharu bersama-sama sokongan untuk audio spatial bagi meningkatkan kualiti panggilan. Terdapat juga fungsi yang dinamakan sebagai ‘potrait mode’ yang akan mengaburkan latar belakang pengguna. Serta togol audio bagi memilih sama ada mikrofon menangkap suara anda atau bunyi di sekeliling anda.

Apple juga memperluaskan skop FaceTime dengan memperkenalkan fungsi baharu yang dikenali sebagai SharePlay. Seperti namanya, SharePlay membolehkan anda dan beberapa individu untuk menonton atau mendengar rancangan TV, filem atau muzik yang sama secara serentak. Fungsi ini boleh digunakan bersama-sama Apple Music dan Apple TV.

Beberapa aplikasi penstriman lain yang sedang merancang untuk menyertakan fungsi ini adalah Disney+, HBO Max dan Twitch.

FaceTiume bukanlah satu-satunya aplikasi di dalam iOS yang menerima penambahbaikan besar di dalam iOS 15. Apple juga turut mempertontonkan versi baharu Messages dan Maps di dalam acara WWDC 2021 berkenaan.

Apple setakat ini belum mengumumkan tarikh menerbitkan kemaskini baharu aplikasi berkenaan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.