Utama Telco Maxis Unifi Mobile kongsi Rangkaian 4G Maxis untuk tingkatkan Liputan Mudah Alih Seluruh...

Unifi Mobile kongsi Rangkaian 4G Maxis untuk tingkatkan Liputan Mudah Alih Seluruh Negara

543
0

TM telah menandatangani kerjasama strategik dengan Maxis bagi meningkatkan liputan rangkaian Unifi Mobile di seluruh negara. Melalui usahasama ini, TM boleh mengakses ke Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (Multi Operator Core Network, MOCN) 4G Maxis serta perkhidmatan Perayauan Domestik 4G dan 2G.

Menerusi kenyataan bersama, MOCN merupakan satu mekanisme perkongsian rangkaian yang membolehkan rangkaian teras berlainan berkongsikan Rangkaian Akses Radio (Radio Access Network, RAN) yang sama.

Kerjasama ini juga membolehkan TM meluaskan liputan 4G di seluruh negara dengan memanfaatkan infrastruktur RAN Maxis, seterusnya meluaskan liputan berkependudukan Unifi Mobile kepada lebih dari 95%.

Di bawah perjanjian ini, Maxis akan menyediakan kira-kira 6,800 tapak untuk MOCN 4G dan perayauan domestik 4G, serta 10,000 tapak untuk perayauan domestik 2G. Ini seterusnya dapat memanfaatkan pengguna di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Malaysia.

Usahasama industri yang lebih erat

Dalam ucapan ketika majlis yang diadakan di Ibu Pejabat TM di Cyberjaya baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis Goh Seow Eng menyatakan, “Ini merupakan pencapaian bermakna buat Maxis yang membuktikan keupayaan dan rekod prestasi kami dalam menyediakan rangkaian mudah alih berkualiti tinggi. Kami berhasrat untuk maju bersama TM dengan inisiatif ini. Kerjasama erat industri merupakan langkah ke hadapan yang tepat kerana dapat memanfaatkan pelanggan melalui liputan yang lebih luas menerusi kos yang lebih efektif dan berkesan menggunakan sumber kami,”

Dalam pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM Datuk Imri Mokhtar berkata, “Kita menyaksikan satu langkah penting di dalam usaha kerjasama industri ke arah perkongsian infrastruktur. Kerjasama kami akan mengangkat kedudukan mudah alih 4G TM untuk memberikan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik untuk pelanggan di rumah, IKS dan perusahaan. Ia juga akan melengkapkan penawaran 5G kami, dan mengorak langkah ke arah inovasi dan kolaborasi yang lebih luas untuk memberikan penyelesaian dan perkhidmatan kepada seluruh rakyat Malaysia,”

Terdahulu, Unifi Mobile (sebelum ini dikenali sebagai Webe/P1) menandatangani perjanjian perayauan domestik dengan Celcom pada 2016. Pengguna Unifi Mobile yang berada di luar liputan mudah alih TM akan bersambungan menggunakan rangkaian Celcom. Pada tahun 2019, Celcom dan Unifi Mobile telah menandatangani perjangjian rangkaian untuk perkhidmatan perayauan domestik 4G dan MOCN untuk tempoh selama 3 tahun.

Unifi Mobile juga menyediakan perkhidmatan 5G menerusi pemeteraian perjanjian dengan Digital Nasional Berhad (DNB) pada hujung 2022. Sungguhpun telah menamatkan perjanjian langganan perkongsian dengan DNB baru-baru ini, pelanggan Unifi Mobile masih lagi boleh terus mengakses ke rangkaian 5G tanpa sebarang masalah.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.