Enam syarikat telekomunikasi Malaysia telah menandatangani perjanjian akses bagi penyediaan perkhidmatan 5G melalui infrastruktur yang disediakan oleh syarikat 5G kebangsaan, Digital Nasional Berhad (DNB). Keenam-enam syarikat berkenaan merupakan Celcom, Digi, Maxis, TM, U Mobile, dan YTL Communications.
Pengumuman tersebut hadir tidak lama selepas perjanjian perkongsian antara Celcom, Digi, TM dan YTL Communications dengan DNB dimuktamadkan. Menerusi perjanjian tersebut, syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan secara kolektif memiliki 65% saham di dalam DNB dengan baki 35% lagi milik kerajaan.
Pun begitu, pihak kerajaan masih lagi pemegang saham majoriti dan mempunyai kuasa penentu yang lebih besar berbanding pemegang-pemegang lain di dalam DNB. Selain itu, perjanjian perkongsian ini juga menyatakan syarikat-syarikat telekomunikasi tidak boleh memiliki lebih dari 20% pegangan di dalam syarikat 5G kebangsaan tersebut.
Berbalik kepada perjanjian akses 5G tadi, The Edge melaporkan pelaksanaan perjanjian akses ini masih lagi tertakluk kepada persetujuan dari lembaga pengurusan tertinggi syarikat telekomunikasi yang terlibat. Segala keputusan tersebut perlu dimuktamadkan sebelum 30 Oktober 2022.
Dalam pada masa yang sama, Menteri Kewangan Tengku Zafrul turut berkongsikan komen mengenai perjanjian 5G ini menerusi satu hantaran di Facebook peribadi beliau.
Beberapa hari yang lepas, Pengerusi DNB Asri Hamidon menyatakan liputan 5G di Malaysia buat masa ini meliputi 33% kawasan berpenduduk. Berdasarkan rancangan DNB terkini, sasaran tersebut ditingkatkan kepada 40% menjelang penghujung 2022 dan terus dinaikkan kepada 80% menjelang 2024.