Telefon pintar mercu paling lengkap tahun ini mungkin boleh dinobatkan kepada Galaxy S26 Ultra. Model baharu keluaran Samsung ini hadir dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy, kamera 200MP yang dipertingkat, S Pen terbina dalam, dan Privacy Display yang menjadikannya peranti mercu yang benar-benar unik.

Atas kertas, ia mensasarkan pengguna kuasa (power user), dan pencipta kandungan. Namun, anda yang mahukan sebuah telefon pintar yang boleh melakukan hampir segala-galanya, ini merupakan pilihan paling tepat.

Bagaimanapun, ia bukanlah naik taraf wajib untuk pemilik Galaxy S25 Ultra. Sebahagian penambahbaikan utamanya lebih bersifat pemurnian pengalaman berbanding perubahan besar-besaran.

Di Malaysia, varian Samsung Galaxy S26 Ultra dengan RAM 12GB dan storan 512GB dijual pada harga RM6,799. Manakala varian 16GB dan 1TB pula berharga RM7,999. Model baharu ini berupaya memberikan pengalaman menyeluruh merangkumi prestasi AI lebih pantas, Nightography yang lebih cerah, paparan QHD+ 120Hz, dan integrasi eksklusif S Pen.

Spesifikasi Galaxy S26 Ultra

Spesifikasi Butiran
Harga 12GB + 512GB: RM6,799; 16GB + 1TB: RM7,999.
Pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy, CPU oktateras dengan kelajuan 4.74GHz dan 3.6GHz.
Skrin 6.9 inci Dynamic AMOLED 2X, resolusi 3120 x 1440, kadar segar semula 120Hz, paparan anti-reflektif dengan Privacy Display terbina dalam, kecerahan puncak 2600 nits.
RAM 12GB untuk model 512GB, dan 16GB untuk model 1TB.
Storan 512GB dan 1TB
Kamera belakang 200MP f/1.4 utama + 50MP f/1.9 ultra lebar + 50MP f/2.9 telefoto 5x + 10MP f/2.4 telefoto 3x, OIS, zoom digital hingga 100x.
Kamera depan 12MP f/2.2 dengan autofokus.
Bateri 5,000mAh, sehingga 31 jam main balik video.
Pengecasan Super Fast Charging 3.0 60W, sehingga 75% dalam sekitar 30 minit; pengecasan tanpa wayar 25W dan reverse wireless charging
Sistem Operasi Android 16 dengan One UI 8.5.
Dimensi / Berat 163.6 x 78.1 x 7.9mm, 214g.
Ciri tambahan S Pen terbina dalam, IP68, Samsung DeX, Bluetooth 6.0, Wi-Fi 7 kelas 802.11be, NFC dan UWB.

Reka Bentuk

Dari sudut reka bentuk, Samsung jelas memilih pendekatan evolusi dan bukannya revolusi. Galaxy S26 Ultra memperkenalkan rekaan bonggol kamera ambien yang menggabungkan bonggol kamera secara lebih kemas ke dalam badan peranti

Dalam pada yang sama masih mengekalkan bingkai Armor Aluminum, perlindungan Gorilla Glass, dan penarafan IP68. Profilnya juga lebih nipis pada 7.9mm dengan berat 214g yang menjadikannya Ultra paling nipis setakat ini.

Samsung turut menawarkan pilihan warna seperti Cobalt Violet, Sky Blue, Black dan White, dengan beberapa warna eksklusif dalam talian seperti Silver Shadow dan Pink Gold.

Dalam penggunaan sebenar, telefon ini boleh digambarkan sebagai seimbang di tangan. Ia tidak terasa terlalu berat walaupun skrinnya besar, dan masih mudah disimpan dalam poket atau beg.

Kemasan mattenya juga dipuji kerana lebih mudah dibersihkan daripada kebanyakan telefon lain. Sekali gus membantu mengekalkan rupa premium tanpa terlalu banyak kesan cap jari.

Walau bagaimanapun, susunan butangnya kadangkala mengelirukan serta mekanisme S Pen yang kini perlu dimasukkan semula mengikut orientasi tertentu. Kami berpandangan ia seumpama langkah ke belakang dari segi kemudahan.

Paparan

Dari sisi paparan, panel 6.9 inci Dynamic AMOLED 2X QHD+ 120Hz ini memang memenuhi jangkaan sebuah telefon flagship Samsung.

Samsung turut menekankan peningkatan pada mDNIe dengan ketepatan pemprosesan warna empat kali ganda serta ProScaler untuk imej yang lebih tajam dan jelas.

Sementara Privacy Display membolehkan pengguna menyembunyikan keseluruhan skrin, aplikasi tertentu, notifikasi, atau maklumat sensitif seperti PIN dan kata laluan dari diintai oleh pengguna lain.

Fungsi ini amat bermanfaat golongan profesional atau sesiapa sahaja yang kerap menggunakan telefon di tempat awam.

Namun, kelebihan itu datang dengan harga yang perlu dibayar dari segi pengalaman visual. Privacy Display sebagai inovasi yang benar-benar mengagumkan kerana ia berjaya melakukan apa yang sebelum ini biasanya memerlukan pelindung skrin privasi.

Namun pada masa yang sama skrin menjadi lebih malap dan warna kelihatan sedikit kelabu apabila mod tersebut diaktifkan. Walaupun ciri itu memberi rasa lebih selamat ketika menaiki LRT, ia menjadikan skrin lebih sukar dilihat di bawah cahaya matahari. Pun begitu, anda boleh menutup dan membuka fungsi tersebut bergantung kepada situasi.

Prestasi dan Perisian

Prestasi ialah antara sebab paling kukuh untuk mempertimbangkan Galaxy S26 Ultra. Samsung menyatakan cip tersuai Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy membawa peningkatan 39% pada NPU, 24% pada GPU, dan 19% pada CPU berbanding Galaxy S25 Ultra, di samping sistem penyejukan baharu berasaskan Vapor Chamber yang menawarkan 21% peningkatan prestasi terma.

Atas kertas, ini meletakkan S26 Ultra sebagai sebuah mesin yang benar-benar dibina untuk multitasking berat, gaming, pemprosesan AI, dan kerja produktiviti bergerak.

Prestasi harian telefon pintar ini boleh disifatkan sebagai sangat lancar, termasuk ketika bertukar antara WhatsApp, Instagram, pelayar web, dan permainan kasual atau grafik lebih tinggi.

Walaupun badan peranti boleh menjadi panas ketika penggunaan luar, peningkatan suhu itu tidak semestinya menjejaskan kelancaran operasi atau respons kamera.

Ini penting kerana banyak telefon ultra-premium gagal mengekalkan pengalaman konsisten apabila terdedah kepada haba persekitaran, sedangkan S26 Ultra nampaknya masih boleh berfungsi dengan meyakinkan.

Awesome Intelligence

Perisian pula ialah bahagian yang membuatkan S26 Ultra terasa lebih “2026” berbanding sekadar “lebih laju”. Telefon ini menggunakan Android 16 dengan One UI 8.5, dan Samsung mengetengahkan ciri seperti Now Brief, Now Nudge, Photo Assist, Creative Studio, Bixby yang lebih memahami bahasa semula jadi, serta Circle to Search yang kini semakin matang dalam ekosistem Galaxy AI.

Komitmen tujuh tahun kemas kini OS dan keselamatan juga merupakan sesuatu yang sangat penting bagi pembeli pada harga setinggi ini kerana ia menambah nilai jangka panjang peranti.

Dalam penggunaan sebenar, penawaran AI inilah peningkatan paling bermakna pada S26 Ultra. Now Brief kini mampu menarik konteks merentas aplikasi dan memaparkan maklumat berguna tanpa perlu diminta.

Sementara semantic search dianggap sangat membantu untuk mencari semula maklumat yang pengguna sendiri terlupa sama ada ia datang daripada e-mel, mesej atau aplikasi lain.

Pun begitu, Now Nudge masih terlalu bergantung pada aplikasi asli Samsung dan belum benar-benar menyelesaikan realiti penggunaan di Malaysia yang banyak bergantung kepada WhatsApp.

Untuk Bixby pula, ia kini lebih berguna untuk tugasan sistem seperti membuka aplikasi, menukar tetapan, atau menyemak kalendar melalui arahan suara.

Namun kelemahan besarnya ialah ketiadaan sokongan Bahasa Melayu. Bagi sesetengah pengguna di Malaysia, kecanggihan AI masih belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa padanan konteks bahasa harian pengguna pasaran tempatan.

Kamera

Seperti tradisi siri Ultra, kamera kekal menjadi tunjang utama identiti peranti ini. Samsung membekalkan sensor utama 200MP f/1.4, ultra lebar 50MP f/1.9, telefoto 50MP f/2.9 dengan zoom optikal 5x, telefoto 10MP f/2.4 dengan zoom optikal 3x, serta kamera depan 12MP f/2.2, lengkap dengan OIS, rakaman 8K pada 30fps dan keupayaan zoom sehingga 100x.

Samsung juga menekankan bahawa apertur kamera utama kini 47% lebih terang dan telefoto 5x pula 37% lebih terang, sekali gus menjadikan Nightography sebagai fokus besar generasi ini.

Foto pada siang hari didapati menunjukkan perincian dan warna yang sangat baik sehingga 5x zoom. Ia dianggap masih cukup berguna pada 10x. Namun untuk 100x, ia lebih sesuai dianggap ciri demonstrasi berbanding alat yang benar-benar praktikal.

Untuk cahaya malap, aperture baharu pada kamera utama dan telefoto 5x membantu menghasilkan julat dinamik dan butiran yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya, khususnya sehingga 5x zoom.

Sampel foto

Keupayaan zoom

Super Steady Video

Samsung turut menonjolkan ciri Super Steady Video dengan Horizontal Lock, dan di sinilah S26 Ultra cuba mencipta identiti yang lebih kuat sebagai telefon untuk video. Mod ini wajar dipuji kerana ia mampu menghasilkan rakaman yang kelihatan sangat stabil, seakan-akan menggunakan gimbal terbina dalam. Terutamanya ketika merakam dalam 4K 60fps dengan kamera ultra lebar.

Malah, ia juga menyokong Advanced Professional Video (APV) codec untuk rakaman 8K 30fps dan 4K 120fps dengan LOG/HDR. Turut ditawarkan, sokongan merakam terus ke SSD luaran, satu bonus besar bagi pencipta kandungan yang serius.

Pengalaman kamera yang ditawarkan pada Galaxy S26 Ultra boleh dianggap sebagai intuitif, dan menyeronokkan apabila digunakan untuk pelbagai tahap zoom. Ia juga menunjukkan peningkatan pemprosesan AI terutama dalam pencahayaan mencabar serta pengesanan subjek.

Pun begitu, kami berpendapat perbezaan berbanding Galaxy S25 Ultra tidak cukup besar untuk dijadikan alasan kukuh bagi pengguna S25 Ultra menaik taraf.

Bagi mod malam, hasilnya diakui sangat baik untuk rakaman yang dirancang dengan teliti. Namun, tangkapan spontan dalam cahaya rendah kadangkala kelihatan terlalu diproses dan sedikit berkabus.

Hayat Bateri dan Pengecasan

Bateri 5,000mAh pada Galaxy S26 Ultra mungkin tidak berubah dari segi angka, tetapi pengalaman sebenar menunjukkan Samsung berjaya mengekstrak lebih banyak ketahanan daripadanya.

Galaxy S26 Ultra mampu bertahan sehingga 31 jam main balik video dan pengecasan sehingga 75% dalam sekitar 30 minit menerusi Super Fast Charging 3.0. Ketahanan tersebut meliputi penggunaan berat seperti kamera, media sosial, pelayaran web, dan beberapa sesi permainan seperti Call of Duty Mobile, Genshin Impact dan juga Mobile Legends Bang Bang pada tetapan tertinggi.

Pada hari penggunaan ringan, telefon ini mampu bertahan sehingga empat hari dengan satu cas. Untuk hari penggunaan berat pula, didapati tidak pernah memerlukan mengecas semula pada pertengahan hari. Walau bagaimanapun kami mendapati telefon pintar ini boleh menjadi agak panas ketika dicas di rumah bergantung pada kabel dan adapter yang digunakan.

Hayat bateri ialah salah satu kekuatan paling meyakinkan pada Galaxy S26 Ultra. Ia bukan sekadar “cukup untuk sehari”, tetapi cukup kuat untuk memberi keyakinan sebenar kepada pengguna berat, dan itu selari dengan kedudukan telefon ini sebagai sebuah mercu untuk pengguna yang sentiasa bergerak.

Kesimpulan

Samsung Galaxy S26 Ultra ialah sebuah flagship yang sangat matang dan sangat hampir menjadi pakej lengkap untuk pengguna premium. Ia menawarkan gabungan prestasi tertinggi, hayat bateri yang mantap, sistem kamera yang luas keupayaannya, S Pen untuk produktiviti, serta ciri Privacy Display yang bukan sekadar gimik tetapi benar-benar berguna dalam dunia sebenar.

Adakah ia berbaloi dibeli?

Jawapannya ya, terutamanya untuk profesional, pencipta kandungan, pengguna kuasa, dan mereka yang menaik taraf daripada telefon yang jauh lebih lama kerana mereka akan benar-benar merasai manfaat cip baharu, AI lebih pintar, video lebih mantap, dan ketahanan bateri yang sangat baik. Namun, jika anda sudah menggunakan Galaxy S25 Ultra, S26 Ultra lebih sesuai dilihat sebagai penambahbaikan halus premium, dan bukannya alasan mendesak untuk bertukar serta-merta.

Akhir kata, Galaxy S26 Ultra ialah telefon yang berjaya menggabungkan kuasa, produktiviti, dan privasi dalam satu badan peranti yang masih elegan. Jika anda mahukan salah satu pengalaman Android paling lengkap di Malaysia sekarang, inilah antara pilihan paling meyakinkan di pasaran, asalkan anda sanggup menerima kompromi kecil pada paparan luar dan pemprosesan imej swafoto.

Tinggalkan komentar