Sony baru-baru ini mengumumkan penggantungan jualan dan tempahan untuk hampir keseluruhan barisan kad memorinya di pasaran Jepun. Pengumuman menerusi laman web Sony Jepun ini dibuat susulan krisis bekalan memori global.
Tindakan drastik ini menjadikan Sony sebagai pengeluar pertama dalam segmen fotografi yang memilih untuk menghentikan penerimaan pesanan sepenuhnya berbanding hanya menaikkan harga jualan.
Punca utama di sebalik gangguan bekalan ini adalah disebabkan oleh lonjakan permintaan terhadap cip khusus untuk pembangunan pusat data Kecerdasan Buatan (AI).
Situasi ini telah menyebabkan bekalan memori jenis DRAM dan memori kilat (NAND flash) di pasaran antarabangsa semakin berkurangan.
Buat masa ini, penggantungan tersebut hanya disahkan untuk pasaran Jepun. Namun ia mungkin menjadi petunjuk awal mengenai situasi pasaran global pada masa akan datang.
Berikut adalah senarai barisan produk kad memori utama yang terjejas oleh penggantungan tempahan ini:
- Kad memori jenis CFexpress Type A
- Kad memori jenis CFexpress Type B
- Kad memori format SDXC
- Kad memori format SDHC
Sony menegaskan penggantungan ini hanyalah bersifat sementara dan merancang untuk mengembalikan produk tersebut ke pasaran di masa hadapan.
Walau bagaimanapun, krisis kekurangan memori ini diramal berpotensi untuk berlarutan sehingga tahun 2030. Pengguna mungkin perlu menunggu lebih lama kerana tiada garis masa rasmi diberikan. Tambahan pula penutupan Selat Hormuz akibat serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, merumitkan lagi keadaan rantaian bekalan dunia.
Selain Sony, jenama teknologi lain turut terkesan. Antaranya Micron yang menghentikan jenama runcit Crucial tahun lalu untuk menumpukan kepada industri AI. Manakala Samsung pula dilaporkan sedang mengurangkan pengeluaran pemacu keadaan pepejal (SSD) jenis SATA











