Selepas hampir empat tahun ciri Apple Pay diperkenalkan kepada pengguna di Malaysia, CIMB Malaysia akhirnya melancarkan sokongan pembayaran digital tersebut untuk para pelanggannya secara rasmi pada hari ini.

Sebelum ini, pihak pengurusan CIMB pernah menyatakan perancangan untuk membawakan sokongan Apple Pay pada separuh masa kedua tahun 2023. Namun, inisiatif tersebut baru dapat direalisasikan sepenuhnya pada tahun ini.

Sokongan pembayaran ini merangkumi sebahagian besar kad kredit Visa dan Mastercard keluaran bank tersebut. Pengguna boleh mula memautkan kad masing-masing untuk melakukan transaksi nirtunai yang lebih pantas dan selamat.

Bagi mengaktifkan ciri ini, pelanggan mempunyai dua pilihan mudah. Anda boleh menggunakan fungsi “Add to Apple Wallet” yang terbina di dalam aplikasi perbankan CIMB Octo. Anda juga boleh menambah butiran kad secara terus ke dalam aplikasi Apple Wallet pada peranti Apple.

Apple Wallet merupakan aplikasi dompet digital khusus untuk peranti ekosistem Apple bagi tujuan transaksi nirsentuh (contactless payment).

Walau bagaimanapun, sokongan ini mempunyai beberapa pengecualian. Buat masa ini, hanya dua jenis kad kredit yang tidak menyokong ciri Apple Pay, iaitu kad CIMB Petronas Visa Infinite-i dan CIMB Petronas Platinum-i. Selain itu, ciri Apple Pay juga tidak tersedia untuk mana-mana kad debit CIMB, Kad Perniagaan Platinum, serta Kad Fuel Tanker.

Promosi Pulangan Tunai sehingga RM118

Bersempena dengan ketersediaan ciri baharu ini, CIMB Malaysia turut mengumumkan program kempen promosi pulangan tunai (cashback) kepada pelanggan yang menjadikan Apple Pay sebagai medium pembayaran. Melalui kempen yang akan berlangsung sehingga 14 September 2026 ini, pengguna berpeluang menikmati pulangan tunai sehingga RM118.

Untuk melayakkan diri mendapatkan pulangan tunai ini, pelanggan perlu melakukan sekurang-kurangnya lima transaksi melalui Apple Pay dengan nilai minimum bernilai RM50 bagi setiap transaksi.

Bagi pengguna yang ingin memaksimumkan ganjaran dan menerima jumlah penuh RM118, anda perlu memiliki serta menggunakan kedua-dua jenis kad kredit CIMB Mastercard dan Visa. Hal ini berikutan setiap rangkaian kad tersebut menawarkan kuota jumlah pulangan tunai yang berbeza di bawah terma kempen ini.

Maklumat lanjut berhubung kempen promosi dan senarai penuh kad yang disokong boleh dirujuk secara terus menerusi portal rasmi promosi dan perbankan CIMB Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.