Peranti boleh lipat kelas mercu Samsung, iaitu Galaxy Z Fold 8 dan Z Flip 8, dijadualkan akan diumumkan pada minggu ini. Bagaimanapun, reka bentuknya telah mula kelihatan di arena web lebih awal.

Pentiris maklumat bersiri terkenal, Evan Blass, telah mendedahkan imej pengolokan (render) berserta imej promosi yang mengesahkan beberapa spesifikasi perkakasan utama peranti tersebut.

Reka Bentuk “Lebar” Baharu Bagi Galaxy Z Fold 8

Seperti yang dispekulasikan sebelum ini, Samsung akan melancarkan dua varian siri Z Fold 8 pada tahun ini. Salah satunya reka bentuk “lebar” (wide) baharu yang dikatakan akan diperkenalkan.

Model asas Galaxy Z Fold 8 menampilkan faktor bentuk yang lebih petak. Hampir sama dengan peranti Huawei Pura X.

Pada bahagian belakang, peranti ini dilengkapkan dengan tetapan dwi-kamera. Merangkumi kamera utama 50 Megapiksel (MP) dan kamera sudut ultra-lebar 50MP.

Untuk swafoto dan panggilan video, peranti ini menggunakan sensor 10MP pada kedua-dua paparan dalaman dan skrin penutup (cover display).

Kedua-dua model peranti ini dijangka akan dikuasakan oleh cip pemprosesan utama terbaharu keluaran Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy, menyerupai cip yang digunakan pada siri Galaxy S26 Ultra.

Walaupun spesifikasi penuh belum didedahkan secara rasmi, imej promosi yang tertiris menunjukkan kedua-dua peranti akan menawarkan jangka hayat bateri yang lebih panjang berbanding siri Z Fold 7.

Galaxy Z Fold 8 baharu dikatakan mampu bertahan sehingga 26 jam untuk main semula video. Manakala model Z Fold 8 Ultra pula dijangka mampu mencapai sehingga 27 jam masa main semula video.

Lebih menarik, Evan Blass turut mendakwa Z Fold 8 Ultra akan dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh. Jika benar, ini merupakan peningkatan kapasiti bateri yang paling besar dalam sejarah siri ini sejak Z Fold 3 yang berkapasiti 4,400mAh.

Siri baharu telefon pintar boleh lipat ini akan diperkenalkan secara rasmi dalam acara Samsung Galaxy Unpacked yang bakal berlangsung pada 22 Julai 2026.

Di pasaran Malaysia, Samsung sedang menawarkan keistimewaan tambahan kepada pengguna yang mendaftarkan minat lebih awal dengan peluang memenangi hadiah terkumpul bernilai sehingga RM62,944.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.