Kerajaan mengumumkan pelarasan sementara bagi kuota petrol RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI95. Kuota akan diturunkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa pada 1 April 2026.

Keputusan ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau turut memaklumkan harga petrol RON95 bersubsidi akan dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter.

Langkah intervensi ini diambil susulan konflik yang dicetuskan oleh serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Kesan daripada serangan tersebut telah memberi tekanan besar terhadap harga minyak mentah dan mencetuskan ketidaktentuan rantaian ekonomi global.

Walaupun kuota bulanan diturunkan, data kerajaan menunjukkan purata penggunaan bulanan majoriti pengguna jalan raya adalah rendah. Selain itu, langkah ini dilaksanakan secara berhati-hati dan bersifat sementara sehinggalah keadaan pasaran pasaran minyak mentah kembali stabil.

“Kita dapati purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, manakala hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, jadi majoriti tidak akan terjejas dengan penetapan baharu ini,” ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelarasan kuota baharu BUDI95 200 liter sebulan untuk pengguna persendirian biasa ini akan berkuat kuasa bermula 1 April 2026 dengan kadar subsidi RM1.99 seliter.

Bagaimanapun pemandu e-hailing yang layak akan terus menikmati kuota siling yang jauh lebih tinggi, iaitu 800 liter sebulan.

Pelarasan kuota ini memperlihatkan pendekatan pragmatik kerajaan. Ia perlu dilaksanakan dalam menguruskan perbelanjaan dan beban subsidi negara di tengah-tengah krisis global, tanpa menjejaskan keperluan mobiliti asas rakyat terbanyak.

Langkah bersasar ini memastikan sumber kewangan disalurkan dengan lebih cekap dan keutamaan bekalan minyak terus terjamin untuk golongan yang paling memerlukan.

Tinggalkan komentar