Utama Android Samsung Ulasan telefon Samsung Galaxy A22 LTE – Bawakan fungsi-fungsi perlu dalam rekaan...

Ulasan telefon Samsung Galaxy A22 LTE – Bawakan fungsi-fungsi perlu dalam rekaan Unik

130
0

Samsung buat masa ini masih lagi mengeluarkan telefon pintar varian 4G (LTE) sungguhpun menawarkan pelbagai jenis model 5G bagi keluaran baharunya. Antara model telefon baharu berkenaan, Samsung Galaxy A22 LTE yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada Julai 2021.

Model ini turut mempunyai sebuah lagi varian yang berkeupayaan 5G iaitu Samsung Galaxy A22 5G. Kedua-dua telefon ini secara luarannya kelihatan sama ibarat adik-beradik kembar. Tetapi mempunyai beberapa perbezaan ketara pada spesfikasinya terutama pada jenis cipset yang digunakan.

Harga Samsung Galaxy A22 LTE di Malaysia

Telefon pintar Samsung keluaran baharu ini dijual di pasaran pada harga RM899.

Rekaan dan Paparan

Rupa fizikal luaran bagi Samsung Galaxy A22 LTE ini kelihatan sama seperti yang ada pada Galaxy A22 5G. Baik dari segi rekaan, mahupun pilihan jenis warna, kedua-duanya kelihatan cantik seperti kebiasaan telefon pintar keluaran Samsung yang lain.

Anda boleh memilih sama ada warna Kelabu, Putih, Hijau Pudina, Ungu dan Hitam (warna ini hanya eksklusif pada A22 4G sahaja).

Paparannya ini tidak menyediakan pengimbas cap jari, sama seperti varian 5G yang menempatkannya pada butang kuasa di sebelah sisinya. Pada sebelah hadapannya juga menempatkan sebuah kamera yang ditempatkan pada takuk paparan Infiity-U.

Juga berbeza dengan varian 5G, varian LTE ini mempunyai paparan Super AMOLED HD 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz berbanding A22 5G yang mempunyai paparan TFT FHD 6.6-inci, 90Hz.

Spesifikasi perisian dan perkakasan Samsung Galaxy A22 LTE

Telefon ini hadir dengan antaramuka Samsung One UI Core 3.1 yang berasaskan Android 11. Kelebihan antaramuka ini anda tidak akan diserabutkan dengan iklan dari aplikasi-aplikasi sarap (bloatware) seperti yang terdapat pada sesetengah antaramuka telefon pintar lain.

Dari segi keupayaan cipsetnya, Samsung Galaxy A22 LTE hadir dengan MediaTek Helio G80. Jika dibandingkan dengan telefon pintar keluaran tahun ini, cipset ini dilihat agak ketinggalan terutamanya dengan Helio G95. Namun, ia masih lagi sebuah cipset yang bagus terutamanya dalam hal kecekapan penggunaan tenaga.

Samsung Galaxy A22 LTE menyediakan RAM 6GB dengan storan dalaman 128GB yang boleh diperluaskan melalui slot kad mikroSD.

Kamera Samsung Galaxy A22 LTE

Ini merupakan tarikan utama buat Samsung Galaxy A22 LTE yang menawarkan kamera utama 48MP f/1.8 dengan penstabil imej optikal (OIS). Sesuatu yang boleh dikira agak unik bagi telefon pada harga yang setara dengannya.

Sokongan OIS ini memberikan kelebihan mengambil foto yang lebih stabil dan kurang gegaran. Serta mampu mengambil video yang lebih baik kualiti rakamannya.

Selain dari kamera utama 48MP OIS berkenaan, telefon Samsung ini juga menyediakan tiga buah kamera lagi dibelakangnya. Ia merangkumi kamera ultra-lebar 8MP, kamera berkedalaman 2MP dan kamera makro 2MP. Manakala kamera di sebelah hadapannya disediakan sebuah sensor 13MP.

Bagaimanapun, untuk rakaman video, varian 4G LTE ini sekadar mampu merakam pada resolusi 1080p pada kadar 30fps.

Secara keseluruhannya, fungsi fotografi yang disediakan oleh Galaxy A22 LTE mengatasi apa yang ditawarkan oleh Galaxy A22 5G.

Bateri dan lain-lain

Melalui bateri berkapasiti 5,000mAh yang ditawarkannya, tempoh penggunaan Galaxy A22 5G mampu bertahan untuk tempoh lebih dari sehari sebelum perlu dicaskan semula.

Hal ini banyak dibantu oleh cipset Helio G80 yang amat tinggi tahap kecekapan penggunaan tenaganya. Anda juga boleh memanjangkan lagi tempoh penggunaan baterinya dengan mengurangkan kadar penyegaran semula dari 90Hz kepada 60Hz.

Telefon ini juga menyokong pengecasan Samsung Adaptive Fast Charging 15W yang turut disertakan bersama-sama kotak pembungkusannya. Di dalam kotak pembungkusannya juga menyediakan kit bebas tangan bagi memudahkan anda mendengar audio secara berwayar melalui bicu audio 3.5mm.

Kesimpulan

Telefon Samsung Galaxy A22 LTE merupakan telefon bagus terutamanya pada fotografi dan papran AMOLEDnya. Pun begitu, harga yang ditawarkan agak tinggi jika mengambil kira spesfikasi yang ditawarkan.

Ia mempunyai kelebihan tersendiri terutamanya pada sudut kamera utama 48MP OIS, dan paparan AMOLED 90Hz. Tidak ketinggalan, fon telinga berwayar dan pengecas 15W yang disediakan juga adalah sesuatu yang agak jarang dijumpai pada kebanyakan model telefon baharu kebelakangan ini.

Pun begitu, bagi anda yang meminati telefon Samsung dan juga reka bentuk yang ditawarkan olehnya, ia merupakan sesuatu yang wajar dipertimbangkan oleh anda. Dapatkan Samsung Galaxy A22 LTE di kedai dalam talian Samsung Malaysia, Lazada, Shopee, serta wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.